KDA, TFC tumbang, pemburuan slot Piala AFC terus sengit

Antara aksi menarik pertemuan KDA menentang KL City di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur. FOTO: Kedah Darul Aman FC
Antara aksi menarik pertemuan KDA menentang KL City di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur. FOTO: Kedah Darul Aman FC
A
A
A

PEMBURUAN tiket untuk ke Piala AFC 2022 di antara Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Terengganu FC (TFC) masih berlarutan, apabila kedua-dua pasukan itu tewas dalam aksi Liga Super, malam ini.

KDA yang memiliki kelebihan satu perlawanan, mempunyai peluang cerah untuk mengesahkan slot ke saingan peringat benua itu selaku naib juara Liga Super, namun dikejutkan dengan kekalahan 2-1 kepada Kuala Lumpur (KL) City FC.

Pada aksi di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras itu, skuad ‘The City Boys’ membuka jaringan menerusi sepakan penalti pemain import dari Colombia Romel Morales pada minit keenam, sebelum bekas penyerang kebangsaan Safee Sali menggandakan jaringan pada minit ke-26.

Skuad Lang Merah berjaya merapatkan jurang menerusi penyerang import dari Ivory Coast Tchetche Kipre pada minit ke-34, namun pasukan itu tidak mampu mencalar rekod tanpa kalah skuad kendalian Bojan Hodak dalam 11 aksi di gelanggang sendiri.

TFC pula gagal menggunakan peluang beraksi di laman sendiri untuk mengatasi KDA, apabila tewas tipis 1-0 kepada juara lapan kali berturut-turut Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.

Pemain pertahanan dari Australia Shane Lowry, yang mempunyai pengalaman beraksi bersama Aston Villa, membuka akaun jaringannya di Liga Super apabila menjaringkan gol tunggal perlawanan pada masa kecederaan kecederaan babak pertama (45+2).

Juara Liga Super akan diberikan slot automatik ke saingan Liga Juara-juara AFC 2022, manakala naib juara Liga Super dan juara Piala Malaysia akan mendapat peluang beraksi di Piala AFC 2022. - Bernama

Artikel Berkaitan: