Lebih 46 peratus kes Covid-19 di Sabah kerana lewat daftar

Foto fail Bernama
Foto fail Bernama
A
A
A

KOTA KINABALU - Sebanyak 1,067 atau 46.8 peratus daripada keseluruhan 2,279 kes positif Covid-19 yang dicatatkan di Sabah pada Sabtu adalah kes yang lewat didaftarkan antara dua hingga tiga hari, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Masidi Manjun.

Jurucakap Covid-19 Sabah itu berkata, 92 kes atau empat peratus pula adalah keputusan saringan yang didaftar lewat antara empat hingga lima hari manakala 181 kes atau 7.9 peratus didaftar lewat melebihi lima hari selepas keputusan ujian diketahui.

Beliau berkata, kes baharu Covid-19 di Sabah pada Sabtu susut sedikit kepada 2,279 berbanding 2,404 yang dicatatkan pada Jumaat.

"Terdapat trend iaitu jumlah saringan kontak rapat menurun tetapi jumlah kes melalui saringan bergejala bertambah. Trend ini agak membimbangkan kerana ia satu petanda virus Covid-19 semakin berleluasa dalam kalangan masyarakat tanpa diketahui punca penyebaran.

"Hari ini, peratusan (positif) saringan kontak rapat turun kepada 54.3 peratus atau 1,237 kes tetapi jumlah daripada saringan bergejala naik kepada 31.1 peratus atau 708 kes manakala saringan kluster menyumbang 164 kes," menurutnya dalam kenyataan pada malam Sabtu.

Masidi juga berkata, satu kluster baharu dicatatkan di Sabah iaitu Kluster Semawang di Sandakan yang merupakan kluster tempat kerja membabitkan pekerja sebuah kilang papan yang tinggal di kuarters premis itu.

"Pada 19 Ogos, sebuah klinik swasta telah melaporkan 10 notifikasi kes positif. Kes indeks adalah pekerja lelaki berusia 40 tahun bukan warganegara yang dikesan positif Covid-19 dalam saringan pekerjaan, setakat hari ini, kluster itu merekodkan 116 kes positif," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: