'Terbang Latif... terbang Latif... terbang Latif'

Atlet lompat jauh paralimpik negara Abdul Latif Romly ketika acara lompat jauh T20 pada temasya Sukan Paralimpik Tokyo 2020 di Stadium Olimpik hari ini. - Foto Bernama
Atlet lompat jauh paralimpik negara Abdul Latif Romly ketika acara lompat jauh T20 pada temasya Sukan Paralimpik Tokyo 2020 di Stadium Olimpik hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

"TERBANG Latif... terbang Latif... terbang Latif”, jerit Salmah Yatim memberi semangat kepada anaknya atlet lompat jauh Abdul Latif Romly.

“Alhamdulillah... makcik rasa bersyukur atas kejayaan Latif, kerana telah berjaya mengharumkan nama negara,” kata Salmah, 64, sambil menadah tangan bersyukur atas kejayaan atlet lompat jauh itu di Sukan Paralimpik Tokyo pada Sabtu.

Abdul Latif yang beraksi dalam acara lompat jauh lelaki kategori T20 (masalah intelektual) itu meraih pingat emas selepas anak jati Perlis itu melakukan lompatan sejauh 7.45 meter (m).

Pingat perak menjadi milik atlet dari Greece Anthanasios Prodromou (7.17m) dan Nicholas Hum dari Australia (7.12m), gangsa.

Salmah yang lebih mesra dengan panggilan Cek Mah berharap agar anak bongsu daripada tujuh adik beradik itu tidak mengalami kecederaan serius.

Abdul Latif mengalami kecederaan ketika melakukan lompatan kelima dan tidak mampu meneruskan lompat terakhir.

Katanya, bercadang untuk masak makanan kegemaran Latif iaitu ayam goreng, apabila jaguh lompat jauh negara itu pulang ke Taman Emas, Beseri nanti.

Salmah berkata, anak bongsunya itu mula meminati sukan sejak di bangku sekolah dulu.

Artikel Berkaitan:

“Latif minat semua acara sukan, makcik pun minat sukan lompat jauh dan pernah mewakili Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Alwi, Kangar ketika belajar dari tingkat satu hingga tiga,” katanya.

Sementara itu, Romly Mat, 70, berkata, beliau bernazar untuk membotakkan kepala atas kejayaan Latif pada Sabtu.

“Bagi membayar nazar saya akan botakkan kepala dalam masa dua atau tiga hari lagi,” katanya sambil tersenyum dan mengibarkan Jalur Gemilang.

Malaysia menepati ramalan apabila sasaran tiga pingat emas berjaya dipungut menerusi angkat berat, badminton dan lompat jauh. - Bernama