Mak Cik Saadiah sudah tiada

Kisah Mak Cik Saadiah yang rutinnya menghantar makanan ke IPD Gerik setiap hari menyentuh hati ramai orang hingga menjadi inspirasi iklan raya. - Foto ihsan pembaca
Kisah Mak Cik Saadiah yang rutinnya menghantar makanan ke IPD Gerik setiap hari menyentuh hati ramai orang hingga menjadi inspirasi iklan raya. - Foto ihsan pembaca
A
A
A

GERIK - Saadiah Abdullah, balu anggota polis yang menyentuh hati orang ramai melalui rutin harian menghantar makanan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik selama 37 tahun meninggal dunia di sini pada Sabtu.

Allahyarhamah Saadiah, 84, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Gerik sekitar jam 12.40 tengah hari selepas beberapa hari dimasukkan ke wad akibat sakit tua.

Anak bongsunya, Wan Jelani Alias, 51, berkata, keadaan kesihatan ibunya yang lebih dekat dengan panggilan Mak Cik Saadiah itu mula merosot sejak bulan lalu selepas terjatuh di bilik mandi yang mengakibatkan strok sebelah badan.

"Keadaan kesihatan emak memang tak berapa baik dalam beberapa minggu ini dan sudah beberapa kali dimasukkan ke hospital.

"Kali pertama dan kedua, keadaan emak selepas keluar hospital baik-baik sahaja, makan juga masih berselera. Cuma dalam tiga hari lepas, keadaan emak semakin uzur.

"Kami bawa semula ke hospital dan emak terpaksa menggunakan bantuan oksigen kerana keadaannya yang semakin tenat," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.

Gambar kenangan Mak Cik Saadiah bersama pegawai dan anggota IPD Gerik. - Foto ihsan pembaca
Gambar kenangan Mak Cik Saadiah bersama pegawai dan anggota IPD Gerik. - Foto ihsan pembaca

Wan Jelani berkata, mereka sekeluarga reda dengan pemergian Allahyarham dan turut merakamkan ucapan terima kasih atas keprihatinan orang ramai yang turut bersedih dengan pemergian ibunya itu.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, ibunya itu adalah seorang perwira dan pejuang sama seperti Allahyarham bapa, Alias Nik Daud yang terkorban dalam serangan hendap komunis ketika bertugas pada tahun 1975.

"Sepanjang hayatnya, emak tak pernah lupakan pengorbanan dan sejarah arwah bapa. Dia adalah perwira sebenar di hati kami," katanya.

Jenazah Saadiah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Padang, Kuala Kenderong, Gerik pada jam 5.30 petang.

Kisah Mak Cik Saadiah kembali tular tahun ini selepas menjadi inspirasi sebuah iklan raya Saji sempena Aidilfitri 2021.

Rutin beliau mengayuh basikal dari rumahnya di Kampung Padang, Kuala Kenderong ke IPD Gerik sejauh lima kilometer setiap hari bagi menghantar makanan kepada petugas di situ walaupun suaminya telah meninggal dunia.

Saadiah melakukan perkara sama setiap hari selama 37 tahun sebagai tanda ingatan kepada arwah suaminya yang pernah bertugas di IPD berkenaan.

Pada tahun 2012, Saadiah berhenti melakukan rutin menghantar makanan selepas insiden terjatuh basikal.