'Saya terima pelantikan ini tanpa apa-apa imbuhan'

Muhyiddin
Muhyiddin
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berbesar hati dengan pelantikannya sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) bertaraf Menteri.

Muhyiddin menegaskan, beliau akan menjalankan tugas secara sukarela tanpa sebarang imbuhan.

Menurutnya, kepercayaan diberikan kerajaan merupakan suatu amanah untuknya meneruskan segala usaha dan perancangan yang telah dimulakan beliau sebelum ini bagi memulihkan negara daripada kesan wabak Covid-19.

"Alhamdulillah, saya merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih dan penghargaan kepada Jemaah Menteri, khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob atas pelantikan ini.

"Saya juga menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang telah memperkenankan pelantikan saya.

"Saya menerima pelantikan ini dan akan menjalankan tugas secara sukarela tanpa apa-apa imbuhan," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Muhyiddin berkata, beliau dan anggota MPN akan berperanan membantu Perdana Menteri dan kerajaan dalam membawa Malaysia melalui fasa-fasa pemulihan seperti yang telah digariskan dalam Pelan Pemulihan Negara.

Menurutnya, ini termasuklah menyokong pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, memudah cara pembukaan sektor-sektor ekonomi, sosial, pendidikan dan keagamaan serta mewujudkan kesedaran masyarakat terhadap pematuhan kepada norma baharu kehidupan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, ia selaras dengan peralihan pengurusan Covid-19 yang akan memasuki fasa endemik.

"Insya-ALLAH, saya akan memanfaatkan segala pengalaman yang ada dan mengharapkan sokongan semua pihak dalam semangat Keluarga Malaysia bagi memastikan matlamat melindungi nyawa, menjamin kelangsungan hidup dan memulihkan negara akan mencapai kejayaan," ujar beliau.

ARTIKEL BERKAITAN:Muhyiddin dilantik Pengerusi Majlis Pemulihan Negara bertaraf menteri