Lelaki mabuk tikam rakan guna pisau

Gambar kecil: Nor Omar
Gambar kecil: Nor Omar
A
A
A

MANJUNG - Bahana mabuk, dua lelaki warga Myanmar bertindak luar kawalan hingga seorang daripada mereka parah akibat ditikam dengan pisau dalam satu pergaduhan di sebuah pondok kolam ikan di sini pada Jumaat.

Kejadian sekitar jam 9.30 malam itu berlaku ketika mangsa berusia 30-an dan bekerja di kolam ikan itu didatangi suspek berusia 35 tahun yang mahu menumpang tinggal di pondok berkenaan.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, kedua-dua mereka berada dalam pondok itu dan telah minum minuman keras sebelum mabuk.

Bagaimanapun katanya, dalam keadaan mabuk itu, tercetus pergaduhan antara mereka menyebabkan suspek menikam mangsa di bahagian dada kiri sebanyak satu kali menggunakan pisau kecil.

"Suspek yang panik kemudiannya telah menghubungi pemilik kolam memaklumkan mangsa dalam keadaan berlumuran darah.

"Mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Seri Manjung oleh pemilik kolam terbabit untuk mendapatkan rawatan lanjut," katanya.

Beliau berkata, polis yang menerima laporan kejadian itu berjaya menahan suspek pada jam 2 pagi Sabtu dan merampas barang kes yang disyaki digunakan dalam kejadian itu.

"Punca pergaduhan masih dalam siasatan. Tangkapan telah ditahan reman selama tujuh hari sehingga 10 September ini bagi siasatan kes di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel Berkaitan: