X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 23 Januari 2022

Nazifuddin kekal Setiausaha Agung MOM

Nazifuddin
A
A

SETIAUSAHA Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Mohd Nazifuddin Najib berjaya mempertahankan jawatan bagi penggal 2021/2025 selepas mengenepikan bekas Timbalan Presiden MOM, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi dalam pemilihan jawatankuasa tertinggi badan induk itu yang dijalankan secara maya pada Sabtu.

Dalam pertandingan dua penjuru itu, Nazifuddin menang dengan 74 undi berbanding dengan lawannya Abdul Azim yang memperoleh hanya 27 undi.

Terdahulu, dua calon lain iaitu Presiden Snooker dan Billiard Malaysia (MSBF) Melvin Chia dan Setiausaha Kehormat Persatuan Pelayaran Malaysia Megat Fairuz Khairuddin menghantar notis menarik diri.

Perebutan bagi lima jawatan naib presiden pula menyaksikan Datuk Shahrul Zaman Yahya meraih sokongan tertinggi dengan 81 undi, diikuti Datuk Mumtaz Jaffar (79), Datuk Chong Kim Fatt (79 ), Datuk Nur Azmi Ahmad (76 ) manakala Datuk Megat Zulkarnain Omardin memperoleh 68 undi.

Sementara itu, penolong setiausaha agung untuk kerusi lelaki dimenangi Chan Foong Keong dengan 66 undi berbanding lawannya Syed Zainal Abidin Syed Zin (35 undi), manakala Datuk Mohd Nasir Ali meraih 65 undi untuk menewaskan Datuk Amarjit Singh Gill (36 undi) bagi jawatan penolong bendahari.

Pengundian tersebut bagi melengkapkan senarai barisan kepimpinan tertinggi MOM bagi penggal 2021-2025.

"Saya fikir kami patut berbangga kerana ini suatu yang sangat bersejarah, ini bukan sahaja AGM (mesyuarat agung tahunan) MOM pertama yang kami lakukan secara dalam talian, bahkan kami telah melakukan seluruh proses pemilihan secara maya.

"Saya harap selepas ini, selaras dengan proses digitalisasi dalam industri sukan, apa yang kami telah lakukan di MOM juga boleh dilaksanakan di semua NSA (Persatuan Sukan Kebangsaan) dengan mencontohi sepenuhnya cara kami untuk mereka menjalankan AGM dan pemilihan secara dalam talian,” kata Presiden MOM Tan Sri Mohamad Norza Zakaria selepas proses pemilihan.

Pada 27 Ogos lepas, Mohamad Norza mengekalkan jawatan apabila menang tanpa bertanding sebagai presiden bagi penggal 2021-2025 sebaik pencalonan ditutup pada 25 Ogos, manakala Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin, yang merupakan muka baharu, juga menang tanpa bertanding bagi jawatan timbalan presiden.

Mohamad Norza, yang juga Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), mula menerajui MOM pada 2018 selepas menjadi calon tunggal bagi menggantikan Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja’afar yang memutuskan untuk tidak mempertahankan jawatan yang disandang sejak 1998.

Ketua Panel Pemilihan Bebas MOM Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos mengesahkan bahawa dua penyandang juga mengekalkan jawatan masing-masing tanpa bertanding - Moira Tan (penolong setiausaha agung wanita) dan Datuk Ahmad Feisal Ahmad Tajuddin (bendahari).

"Seperti yang saya sebut tadi, masa bergerak begitu pantas dan kami mempunyai beberapa kejohanan besar dari 2022 hingga 2024, jadi untuk masa terdekat ini, lembaga eksekutif baharu akan bermesyuarat dalam dua minggu lagi dan diikuti majlis eksekutif.

"Saya berjanji, bersama rakan-rakan yang baru dipilih, kami akan bekerjasama dengan anda (NSA) untuk membantu persatuan mencapai matlamat seterusnya, ” tambahnya.

Mohamad Norza secara peribadi juga menzahirkan rasa terima kasih kepada lima NSA iaitu BAM, Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA), Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) dan Konfederasi Tenpin Boling Malaysia (MTBC) yang mencalonkan beliau untuk menerajui MOM sekali lagi. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!