Semua MP perlu sokong usul RUU Pemecatan Ahli Parlimen 2021

Muhammad Nur Aizat
Muhammad Nur Aizat
A
A
A

ALOR SETAR - Semua ahli Parlimen tanpa mengira parti politik perlu menyokong cadangan membentangkan Usul Rang Undang-Undang (RUU) Pemecatan Ahli Parlimen 2021 bagi menangani isu lompat parti.

Exco Pemuda UMNO, Muhammad Nur Aizat Noor Azam berkata, cadangan yang diusulkan Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said itu adalah langkah betul dan perlu dilakukan dengan komprehensif.

Beliau berkata, penggubalan undang-undang tersebut bertujuan mengembalikan kuasa memilih ahli Parlimen kepada rakyat dan merupakan satu langkah progresif ke arah membina negara lebih demokratik.

"Undang-undang tersebut adalah untuk memastikan wakil rakyat bertanggungjawab secara berterusan kepada pengundi-pengundinya. Mandat yang diberikan boleh dibatalkan oleh rakyat sekiranya terdapat sebarang pelanggaran terhadap peruntukan undang-undang berkenaan.

"Saya menyokong penuh cadangan ini dan saya mengajak semua ahli Parlimen tanpa mengira parti politik untuk berganding bahu memberi sokongan dalam memastikan kestabilan kepada mana-mana kerajaan yang mentadbir negara ini, juga ketelusan di pihak ahli Parlimen," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Muhammad Nur Aizat yang juga Ketua Pemuda UMNO Merbok berkata, biarpun proses penggubalan undang-undang tersebut akan mengambil masa tetapi ia merupakan langkah penting untuk bergerak ke hadapan.

Katanya, bagi menangani isu lompat parti, pilihan raya semula adalah cara lebih progresif hanya sekiranya undang-undang tersebut digubal secara teratur dan menyeluruh.

Bagaimanapun, katanya, beberapa perkara perlu dirujuk sebelum undang-undang berkenaan digubal, antaranya peruntukan-peruntukan Perlembagaan Persekutuan terutama Perkara 10 dan 48 yang perlu dipinda terlebih dahulu.

Artikel Berkaitan:

"Undang-undang tersebut mesti dihadkan hanya bagi menangani isu lompat parti. Pencetus (trigger) kepada pengguna pakaian undang-undang tersebut mesti digubal dalam perkataan yang sangat jelas bagi mengelakkan sebarang kekeliruan atau penyalahgunaan (‘abuse’) oleh mana-mana pihak di masa hadapan," jelas beliau.