Lebih 7,000 lesen nelayan ditarik balik

Ahmad (empat, kanan) menyerahkan bakul makanan kepada MAFI kepada nelayan Parlimen Masjid Tanah, di Kuala Sungai Baru, di sini, pada Sabtu.
Ahmad (empat, kanan) menyerahkan bakul makanan kepada MAFI kepada nelayan Parlimen Masjid Tanah, di Kuala Sungai Baru, di sini, pada Sabtu.
A
A
A

ALOR GAJAH - Jabatan Perikanan Malaysia telah menarik balik lebih 7,000 lesen menangkap ikan selepas nelayan terlibat dikesan tidak mematuhi dasar dan prosedur perlesenan ditetapkan.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, jumlah itu direkodkan sepanjang proses pemutihan yang dilakukan sejak 2015 sehingga tahun lalu.

Menurutnya, tujuan pemutihan dibuat bagi mengenal pasti status nelayan sama ada aktif atau sebaliknya sekali gus memberi peluang kepada permohonan baharu lesen menangkap ikan oleh individu lain.

"Sejak 2015 lagi, mereka dikesan tidak lagi aktif termasuk gagal menghidupkan lesen lebih daripada setahun, malah ada yang tidak menjadi nelayan dan telah meninggal dunia.

"Proses ini penting supaya mereka terus aktif dan kita juga dapat meluluskan permohonan lesen baharu mengikut kesesuaian jumlah nelayan dengan hasil laut di kawasan perairan tertentu," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar program penyerahan sumbangan bakul makanan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) kepada nelayan Parlimen Masjid Tanah di Kuala Sungai Baru di sini pada Sabtu.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sebanyak 3,629 lesen sampan khas menangkap ikan telah diluluskan di seluruh negara dengan kebanyakannya membabitkan nelayan laut pada tahun ini.

"Seperti Melaka, kita menerima 300 permohonan lesen daripada nelayan laut, manakala nelayan darat seramai 200 orang dan meluluskan 141 lesen sampan khas memancing ikan.

Artikel Berkaitan:

"Seramai 34 nelayan daerah Alor Gajah pula menerima sijil lesen sampan khas.

"Untuk seluruh negara pula sebanyak 3,629 lesen sampan khas diberikan," katanya.