Fokus bincang perbelanjaan kerajaan, bukan nisbah hutang

Shahril
Shahril
A
A
A

SHAH ALAM - Semua pihak perlu memberi tumpuan terhadap jumlah dan jenis perbelanjaan dilakukan kerajaan berbanding nisbah hutang kerajaan daripada nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk dibincangkan.

Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan berkata, perkara tersebut dilihat lebih penting untuk dibincangkan dalam membantu Malaysia merancakkan dan memulihkan ekonomi negara.

Katanya, dengan mengambil senario semasa, langkah kerajaan untuk meningkatkan had statutori hutang melebihi 60 peratus daripada nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) adalah suatu tindakan wajar.

“Pantau dan kaji nisbah ‘debt to GDP’ ini kerana andai kata perbelanjaan kerajaan mampu merancakkan pertumbuhan ekonomi, maka KDNK (GDP) itu akan naik lebih laju.

“Namun, andai kata perbelanjaan kerajaan tertumpu atau tertiris kepada perkara yang tidak merancakkan pertumbuhan KDNK, sebaliknya akan berlaku. Dalam erti kata lain, peratus itu menjadi kayu ukur kepada ‘produktiviti’ perbelanjaan sesebuah kerajaan.

“Jadi, bukan angka hutang perlu kita khuatir. Sebaliknya, adakah hutang itu mampu menjana pertumbuhan tinggi atau tidak? Adakah rakyat kebanyakan menikmati keuntungan dari pertumbuhan ini?” soalnya menerusi satu hantaran di Facebook rasminya pada Sabtu.

Pada Jumaat, Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz memaklumkan beliau mencadangkan untuk menaikkan had statutori hutang kepada 65 peratus daripada 60 peratus daripada KDNK pada masa ini.

Mengulas lanjut, Shahril berkata, perbelanjaan yang dilakukan oleh kerajaan perlu bukan sahaja berupaya menjana pekerjaan dan pelaburan malah membantu pembukaan sektor ekonomi negara dengan selamat.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut mencadangkan beberapa jenis perbelanjaan yang dijangka mampu membantu usaha tersebut antaranya pemberian subsidi dan pelepasan cukai bagi perniagaan membeli ‘test-kit’ untuk menjalankan ujian Covid-19 ke atas pekerja-pekerja secara kerap serta berkala.

“Kedua, perbelanjaan untuk meningkatkan kapasiti perkhidmatan kesihatan awam melalui pembesaran hospital dan penambahan katil hospital kerajaan serta penyerapan kakitangan kesihatan kontrak ke dalam skim tetap.

“Ketiga, insentif pelaburan ekonomi hijau seperti penggalakan penggunaan ‘tenaga boleh diperbaharui’ ke arah perlindungan iklim dan alam semulajadi.

“Keempat, pengenalan skim jaminan pekerjaan atau bank ‘pekerjaan’ untuk membantu sekurang-kurangnya 300,000 orang yang hilang pekerjaan sepanjang krisis pandemik Covid-19 dan 400,000 graduan universiti setiap tahun,” katanya.

Tambah beliau, turut dilihat mampu membantu pembukaan ekonomi negara adalah pemberian skim ‘Matching Topup Jaringan Keselamatan Sosial’ bagi pekerja yang mengeluarkan wang KWSP demi untuk menjamin simpanan yang mencukupi pada usia persaraaan.

“Maka apabila Parlimen bersidang kelak, saya harap tiada yang terlalu obses tentang nisbah hutang kerajaan dan KDNK.

“Setelah memahami apa sebenar maksud nisbah atau peratus ini, saya harap ahli Parlimen lebih fokus berbahas dan memberi cadangan serta kritikan membina mengenai jumlah dan jenis perbelanjaan yang wajar,” katanya.