Hukum individu di sebalik pembatalan pingat Ziyad rugikan negara

Ahmad Faizal (tengah) ditemui pemberita selepas lawatan kerja di Majlis Belia Daerah Yan, Yan pada Sabtu.
Ahmad Faizal (tengah) ditemui pemberita selepas lawatan kerja di Majlis Belia Daerah Yan, Yan pada Sabtu.
A
A
A

TINDAKAN terhadap individu di sebalik insiden pingat emas negara ditarik balik pada Sukan Paralimpik Tokyo 2020 haruslah tidak merugikan mana-mana pihak.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, kerajaan tidak akan mengambil tindakan merugikan negara berhubung insiden membabitkan jaguh lontar peluru para negara, Muhammad Ziyad Zolkefli.

Ahmad Faizal juga kecewa dan memahami keresahan rakyat Malaysia susulan pembatalan pingat emas atlet paralimpik Malaysia tersebut.

"Walaupun jurulatih, Faizol Harun mengambil tanggungjawab atas perkara yang berlaku, saya sebagai Menteri Belia dan Sukan juga perlu mengambil tanggungjawab.

"Semuanya perlu mengambil tanggungjawab termasuklah saya sendiri, jurulatih dan Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN)," katanya kepada pemberita selepas lawatan kerja di Majlis Belia Daerah Yan di Yan pada Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada tindakan tatatertib akan dikenakan terhadap Faizol berhubung kejadian itu.

Hadir sama pada lawatan kerja itu ialah Exco Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Mohd Firdaus Ahmad; Pengarah Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Kedah dan Pegawai Daerah Yan, Tunku Iskandar Shah Tunku Muzaffar Shah.

Sementara itu, Ahmad Faizal berkata, apa bentuk tindakan yang diambil tidak semestinya hukuman tetapi lebih kepada usaha memastikan perkara itu tidak berulang.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, kita perlu menambah baik apa juga tanggungjawab yang perlu digalas oleh pihak dipertanggungjawabkan menjaga atlet terbabit.

"Apakah dengan menghukum jurulatih yang mencungkil satu bakat hingga ke peringkat antarabangsa, hingga tidak boleh melatih lagi, saya fikir itu merugikan," jelas beliau.

Dalam perkembangan sama, Ahmad Faizal berkata, bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Malaysia, Tan Sri Borhan Dolah akan mempengerusikan jawatankuasa siasatan bebas bagi menyiasat isu pembatalan pingat Ziyad itu.

Beliau berkata, jawatankuasa siasatan bebas itu turut dianggotai bekas Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salim Parlan dan Ketua Jurulatih Kesatuan Olahraga Malaysia, Mohd Manshahar Abdul Jalil.

"Laporan siasatan jawatankuasa siasatan bebas berhubung insiden menimpa atlet paralimpik negara akan dilaporkan terus kepada saya," katanya.

Ahmad Faizal turut memberitahu bahawa ganjaran bersesuaian kepada Ziyad sebagai penghargaan kepada atlet terbabit akan dicadangkan kepada kabinet.