X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 22 Mei 2022

KASA mahu budayakan sifat prihatin alam sekitar dalam masyarakat

Mansor melakukan lawatan kerja di kawasan yang mengakibatkan banjir di Kampung Sethu, Kampung Jawi dan sepanjang Sungai Jawi, Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) pada Sabtu. - Foto: Bernama
A
A

NIBONG TEBAL - Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) mahu membudayakan sifat prihatin dalam masyarakat terhadap alam sekitar dalam usaha mengawal perubahan iklim dan pemanasan global.

Timbalan Menterinya, Datuk Dr Mansor Othman berkata, kementerian mengambil berat tentang isu itu dan akan menganjurkan pelbagai program untuk meningkatkan kesedaran awam tentang kepentingannya.

Beliau berkata, menanamkan sifat advokasi terhadap alam sekitar dalam kalangan masyarakat khususnya golongan muda adalah penting kerana usaha itu boleh memberi manfaat jangka masa panjang.

“Perubahan iklim dan pemanasan global adalah perkara mustahak, kesannya makin jelas dan juga kini merupakan aspek penting dalam proses pembangunan negara,” katanya kepada pemberita di sini pada Sabtu.

Beliau ditemui selepas melawat kawasan yang dilanda banjir pada 18 Ogos lepas melibatkan Kampung Sethu, Kampung Jawi dan sepanjang Sungai Jawi.

Katanya, antara program alam sekitar yang akan dianjurkan adalah sambutan Hari Sungai pada 25 September ini di Sungai Sanglang.

Mengenai kejadian banjir bulan lepas itu, Mansor berkata, punca kejadian dikenal pasti oleh Jabatan Pengairan Saliran (JPS) Malaysia disebabkan limpahan air Sungai Kechil yang menjejaskan Kampung Sethu dan Sanglang.

“KASA melalui JPS akan melaksanakan dua Projek Rancangan Tebatan Banjir di Seberang Perai Selatan iaitu Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Kechil, dengan kos projek keseluruhan bernilai RM16.5 juta dan RTB Sanglang, yang telah dimohon untuk dilaksanakan di bawah Rolling Plan (RP2) Rancangan Malaysia Ke-12 dengan anggaran kos projek keseluruhan berjumlah RM11 juta.

“Pelaksanaan dua projek ini, yang dijangka siap dalam empat tahun lagi, akan memberi manfaat kepada 7,665 orang penduduk yang terkesan akibat kejadian banjir lepas,” katanya. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!