X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 06 Julai 2022

'Yeop hilang 80 peratus pemain utama'

Antara aksi menarik pertemuan Perak menentang Melaka United di Stadium Hang Jebat malam tadi. - Foto PERAK FC
A
A

KEKALAHAN 1-2 Perak FC kepada Melaka United nyata amat mengecewakan pasukan itu yang terpaksa menerima hakikat perit tersingkir buat pertama kali dalam saingan liga utama negara ini.

Penolong Jurulatih Perak FC Mohd Shahril Nizam Khalil berkata, kekurangan pengalaman barisan pemain muda selepas ketiadaan hampir 80 peratus pemain utama memberikan perbezaan ketara bagi sesebuah pasukan untuk saingan liga yang kompetitif.

Bagaimanapun beliau menaruh kepercayaan dengan kualiti yang dimiliki barisan pemain mudanya, skuad Bos Gaurus mampu bangkit pada saingan musim depan.

“Pada separuh masa pertama kita bermain dengan baik dan mendahului tuan rumah namun bersambung babak kedua, mereka seperti hilang fokus dan buat kesilapan mudah seterusnya membolehkan Melaka United mengambil peluang menjaringkan gol di luar kotak penalti.

“Kami bermain dengan pemain muda yang kurang pengalaman dan belum cukup matang tetapi telah memberikan persembahan yang baik. Sudah tentu para pemain dan pegawai berasa kecewa kerana tersingkir ke Liga Premier namun kita harap dapat bangkit semula ke Liga Super,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan di Stadium Hang Jebat malam tadi.

Terdahulu dalam aksi di Stadium Hang Jebat itu menyaksikan skuad Sang Kancil bangkit menewaskan pasukan pelawat biarpun ketinggalan 1-0 di separuh masa pertama yang memperoleh gol menerusi penalti yang disempurnakan Sergio Augero pada minit ke-30 selepas rakannya Muhammad Syahir Bashah dijatuhkan dalam kotak penalti.

Bersambung babak kedua, pasukan negeri Hang Tuah yang tampak tertekan, mempamerkan corak permainan agresif dan berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-66 menerusi gerakan solo Manuel Ott sebelum Sony Norde merembat deras bola ke gawang lawan pada minit ke-79 di luar kotak penalti dan keputusan itu kekal hingga tamat perlawanan seterusnya memastikan pasukan mereka mencatat kemenangan untuk mengutip tiga mata berharga.

Kekalahan enam kali berturut-turut yang dihadapi itu juga sekali gus menutup sisa peluang yang ada biarpun skuad Bos Gaurus masih memiliki baki satu perlawanan apabila sekadar meraih 13 mata selepas mengharungi 21 perlawanan musim ini.

Sementara itu, pengendali Melaka United Zainal Abidin Hassan berkata, kemenangan itu telah menghilangkan tekanan yang menyelubungi pasukannya sebelum ini selepas kedudukan mereka terjamin untuk terus kekal di Liga Super musim depan.

“Alhamdulillah untuk tiga mata yang amat penting buat pasukan ini, pujian harus diberikan kepada para pemain apabila memberikan satu aksi padu kerana ia satu perlawanan yang sengit. Kami tahu dua-dua pasukan tertekan dan Perak ibarat mahu menghidupkan nyawa mereka namun kami berjaya keluar dari zon bahaya,” katanya.

Melaka United memperbaiki kedudukan di tangga ketujuh dengan mengumpul 21 mata manakala Perak yang hanya mengutip 13 mata berada di kedudukan ke-11 mengiringi UiTM FC ke Liga Premier musim depan. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!