Kerajaan perlu tubuh Majlis Kerukunan Politik Negara

Mohd Yussof menunjukkan buku Kontrak Sosial pada sidang akhbar pada Sabtu.
Mohd Yussof menunjukkan buku Kontrak Sosial pada sidang akhbar pada Sabtu.
A
A
A

GEORGETOWN - Kerajaan digesa supaya menubuhkan sebuah Majlis Kerukunan Politik Negara (MKPN) bagi merangka rukun-rukun politik untuk rakyat susulan keadaan politik di negara ini dilihat amat membimbangkan.

Veteran politik UMNO, Tan Sri Mohd Yussof Latiff berkata, rukun politik itu boleh dijadikan sebagai tiang negara selain panduan kepada semua ahli dan pertubuhan politik mengenai apa yang boleh dan tidak boleh diamalkan dalam berpolitik (politicking).

Menurutnya, ia juga perlu mendukung cita-cita negara dan bertujuan menjaga keharmonian hidup rakyat berbilang kaum yang berteraskan Perlembagaan Negara, Rukun Negara dan Kontrak Sosial.

"MKPN yang ditubuhkan itu perlu dipengerusikan oleh seorang negarawan yang dihormati oleh semua pihak, manakala anggota majlis pula harus terdiri daripada wakil badan politik dan ahli akademik yang berwibawa. Saya melihat Kementerian Perpaduan adalah yang paling layak untuk mengurus selia perkara ini.

"Dengan rukun politik ini, ia diharap dapat dijadikan syarat dan peraturan bagi semua ahli politik dan pertubuhan politik untuk tidak menyentuh isu-isu sensitif.

"Ia juga mengawal agar Perlembagaan Negara dan Institusi Raja Berperlembagaan tidak dipertikai selain menghormati agama Islam sebagai agama rasmi Persekutuan dan agama- agama lain turut dibolehkan untuk diamalkan," katanya pada sidang akhbar pada Sabtu.

Beliau berkata, rukun politik itu juga boleh dijadikan garis panduan untuk mengetahui parameter politik yang sihat.

"Selain itu, ia dapat meningkatkan integriti ahli politik supaya menjadi pemimpin yang bertanggungjawab dan sedar tahap kebebasan yang perlu dihadkan di negara ini atas faktor keharmonian kaum.

Artikel Berkaitan:

"Sebagai rakyat Malaysia, kita mempunyai kewajipan dan tanggungjawab untuk memahami Perlembagaan, Rukun Negara dan Kontrak Sosial. Ini kerana menerusi pegangan ini, Malaysia akan sentiasa berada dalam keadaan aman, sejahtera, damai harmoni dan hormat menghormati di antara satu sama lain," katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang) turut menyatakan kebimbangan dengan perkembangan politik negara yang dilihat sangat tidak sihat dan tenat.

"Tidak dapat dinafikan bahawa politik adalah medium untuk rakyat bersatu dan membentuk kerajaan. Namun kini politik negara semakin tidak stabil kerana ahli politik dilihat hanya berminat untuk bermain politik dan akibatnya semua perkara menjadi permainan politik (politicking).

"Semua perkara hendak dipolitikkan antaranya pandemik Covid-19, bantuan rakyat dan sistem persekolahan. Ia diburukkan lagi apabila ada pihak yang berani membangkitkan pelbagai isu sensitif seperti menghina Institusi Raja-Raja Melayu, mempertikaikan Perlembagaan Negara dan sebagainya," katanya.

Tambahnya, pemimpin parti politik juga seolah-olah gemar bermain isu-isu sensitif itu bagi meraih populariti tanpa memikirkan akibat yang akan merosakkan keharmonian negara.

"Tindakan itu akan merosakkan fikiran generasi muda dan negara.

"Ketidakstabilan politik telah menjejaskan semua perancangan ekonomi dan sosial untuk kepentingan rakyat malah negara seolah-olah hilang hala tuju pembangunan negara yang akhirnya merugikan rakyat," katanya.