Covid-19: 19,057 kes baharu, Selangor kekal rekod kes tertinggi

Jumlah kumulatif kes positif Covid-19 di Malaysia terus meningkat kepada 1,824,439 selepas 19,057 kes baharu dilaporkan pada Sabtu. Gambar hiasan
Jumlah kumulatif kes positif Covid-19 di Malaysia terus meningkat kepada 1,824,439 selepas 19,057 kes baharu dilaporkan pada Sabtu. Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kes baharu Covid-19 dalam negara pada Sabtu menurun kepada 19,057 berbanding 19,378 pada Jumaat.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi satu kenyataan berkata, kes Covid-19 kini adalah sebanyak 1,824,439 kes.

"Selangor kekal mencatatkan jumlah kes harian tertinggi dengan 3,775 kes, diikuti Sarawak (2,723), Sabah (2,279), Johor (2,077), Pulau Pinang (1,558), Perak (1,450), Kelantan (1,434) dan Kedah (1,329).

"Kuala Lumpur pula merekodkan sebanyak 711 kes, Terengganu (605), Pahang (410), Melaka (338), Negeri Sembilan (242), Perlis (99), Putrajaya (18) dan Labuan sembilan kes," katanya pada Sabtu.

Menurut beliau, terdapat 10 kes import direkodkan dan 19,047 kes merupakan penularan tempatan serta membabitkan 16,784 warganegara dan 2,263 warga asing.

"Daripada 19,057 kes harian yang dilaporkan pada hari ini, sebanyak 405 kes adalah daripada kategori tiga hingga lima, manakala sebanyak 18,652 kes lagi adalah terdiri daripada kategori satu dan dua," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, secara keseluruhan, 8,544 kes daripada jumlah kes yang dilaporkan pada Sabtu tiada sejarah vaksinasi.

"Sebanyak 4,393 kes telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin, manakala 6,120 kes mempunyai sejarah vaksinasi lengkap," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah Noor Hisham, jumlah kes aktif di Malaysia adalah 256,302.

Dalam pada itu, beliau berkata, sebanyak 1,369 kes dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan 764 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

"Di ICU sebanyak 460 kes, disyaki, kemungkinan dan dalam siasatan Covid-19 daripada jumlah pesakit yang memerlukan bantuan pernafasan," katanya.

Kata Noor Hisham, terdapat 362 kes kematian direkodkan sekaligus menjadikan jumlah keseluruhannya 17,883.

"Jumlah itu membabitkan 304 warganegara dan 58 warga asing. Daripada jumlah kematian, terdapat 104 kematian di luar hospital (BID)yang melibatkan 69 warganegara dan 35 warga asing," katanya.

Sementara itu, katanya, KKM mengenalpasti 16 kluster baharu yang merupakan 12 kluster tempat kerja, tiga kluster komuniti dan satu kluster pendidikan.

"Jumlah keseluruhan kluster adalah 4,854 manakala yang mana 3,399 daripadanya telah diisytiharkan tamat. Selebihnya, 1,455 kluster masih aktif dan merekodkan pertambahan kes," katanya.