Dua lori hantu ditahan bawa tanah merah tanpa kelulusan

Sebuah lori hantu dibawa ke Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Pilah. - Foto Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Pilah
Sebuah lori hantu dibawa ke Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Pilah. - Foto Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Pilah
A
A
A

KUALA PILAH - Anggota Unit Penguatkuasaan Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Pilah menahan dua buah lori hantu kerana membawa muatan tanah merah tanpa kelulusan pihak berkuasa pada Jumaat.

Pegawai Daerah Kuala Pilah, Mohd Faizal Abdul Manap berkata, lori berkenaan ditahan ketika anggota menjalankan rondaan penguatkuasaan di Kampung Juasseh Kapitan, Mukim Juasseh pada jam 9.15 pagi di sini.

Menurutnya, ketika ditahan lori berkenaan membawa muatan tanah merah dari kawasan projek perumahan Taman Juasseh Sentosa, Pekan Juasseh menghala ke Kampung Juasseh Kapitan, Mukim Juasseh.

"Hasil pemeriksaan mendapati pemandu lori gagal mengemukakan sebarang permit bahan batuan yang sah daripada Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Pilah.

"Sebuah lori dibawa ke Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Pilah dengan bantuan Unit Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Pilah untuk siasatan lanjut, manakala sebuah lagi lori tidak dibawa kerana mengalami masalah enjin," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.

Sebuah lori hantu dibawa ke Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Pilah. - Foto Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Pilah
Sebuah lori hantu dibawa ke Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Pilah. - Foto Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Pilah

Mohd Faizal berkata, pemandu lori yang berusia 20-an dan 50-an itu juga dilepaskan selepas diambil keterangannya.

"Kes ini seterusnya disiasat di bawah Seksyen 426 Kanun Tanah Negara 1965 iaitu mencabut, memindah atau mengangkut bahan batuan tanpa kebenaran yang sah.

Artikel Berkaitan:

"Jika disabitkan kesalahan boleh didenda yang tidak melebihi RM500,000 atau dipenjara untuk suatu tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Faizal turut memberi amaran tindakan tegas bakal dikenakan kepada mana-mana pihak yang melanggar Undang Undang Kanun Tanah Negara 1965 dan mencuri Hasil Kerajaan Negeri.