13 graduan PICOMS diterima bekerja di German

Sebahagian peserta Program Nach Deutschland PICOMS yang bakal berkhidmat di German.
Sebahagian peserta Program Nach Deutschland PICOMS yang bakal berkhidmat di German.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Graduan muda dari Kolej Universiti Antarabangsa PICOMS (PICOMS) berpeluang memperoleh pendapatan antara RM10,000 hingga RM15,000 sebulan selepas berjaya menempatkan diri dalam pasaran kerja di German.

Ahli Lembaga Pengarah PICOMS, Profesor Dr Abdul Latif Mohamed berkata, seramai 13 graduan yang baru menamatkan pengajian kejururawatan di universiti itu diterima bekerja di hospital kerajaan dan pusat geriatrik terpilih negara itu melalui Program Nach Deutschland.

Menurutnya, projek perintis itu menunjukkan graduan lepasan PICOMS diiktiraf di peringkat antarabangsa dan berharap peluang itu digunakan graduan terlibat dengan sebaiknya untuk menimba pengalaman.

"Sebagai pengamal perubatan, saya yakin dengan kemajuan bidang perubatan dan kesihatan di German yang akan membantu melahirkan jururawat pakar.

"Pengalaman selama tiga tahun di sana dapat dibawa pulang dan dikembangkan di Malaysia pada masa akan datang khususnya dalam kursus penjagaan warga emas sebagai persediaan status negara tua," katanya pada majlis penyerahan tiket penerbangan dan surat tawaran kerja kepada peserta program itu di PICOMS, di sini pada Jumaat.

Abdul Latif turut memuji keberanian para graduan yang menyahut cabaran menjayakan projek tersebut yang telah dirancang lama dan akhirnya berjaya direalisasikan.

"Dengan adanya projek perintis ini dapat memberikan keyakinan status PICOMS setara dengan namanya yang tertera antarabangsa.

"Saya harap projek ini akan disusuli ke negara-negara lain. Seramai sembilan graduan PICOMS juga bakal diterima ke Jepun dijangka berlepas Oktober ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu peserta program, Siti Nor Safika Husin, 23, berkata, dia bersyukur kerana projek yang tertangguh lebih setahun itu akhirnya dapat diteruskan.

"Sepatutnya dah ke German pada Ogos tahun lepas tetapi tertangguh disebabkan Covid-19.

"Walaupun sedikit gementar untuk berkhidmat di negara orang namun saya dah lama bersedia untuk ke sana dengan mengikuti kelas bahasa German untuk fasih berkomunikasi di sana," katanya.

Seorang lagi peserta, Della Syarfika Muhammad Fadzli, 23, berkata, restu daripada ibu bapa mendorongnya untuk meneruskan impian mengembangkan karier kejururawatan di German.

"Peluang tiga tahun di sana akan saya manfaatkan sebaiknya untuk timba pengalaman dan merancang menyambung pengajian peringkat ijazah di sana jika diberikan peluang," katanya.

Pada masa sama, dia turut mengucapkan terima kasih kepada Baitulmal yang membiayai pengajian di PICOMS sehingga mereka berjaya menempatkan diri dalam pasaran kerja di luar negara.