Vaksin: MPIC cadang gabung program Vacoms dengan Movak

Zuraida (dua dari kiri) dan timbalannya, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng (kiri) melihat pekerja warga asing menerima suntikan vaksin Covid-19 di Pusat Pemberian Vaksin Industri (PPVIN) Olak Lempit Banting pada Sabtu. - Foto Bernama
Zuraida (dua dari kiri) dan timbalannya, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng (kiri) melihat pekerja warga asing menerima suntikan vaksin Covid-19 di Pusat Pemberian Vaksin Industri (PPVIN) Olak Lempit Banting pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

BANTING - Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC) mencadangkan untuk menggabungkan program vaksinasinya, Program Vaksinasi Sektor Agrikomoditi (Vacoms) dengan Program Mobilisasi Vaksin Komuniti (Movak) Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, ia bertujuan agar program berkenaan menjangkau ke tempat-tempat yang terpencil.

“Saya akan satukan kerana Movak mempunyai pasukan logistik yang boleh turun ke tempat-tempat pedalaman dan kita akan menggunakan unit bergerak yang kita ada untuk bergabung dengan MPIC agar kita dapat menjangkau di tempat-tempat perladangan yang terpencil,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa lawatan kerja ke Pusat Pemberian Vaksin Industri (PPVIN) Vacoms Majlis Kayu-Kayan Malaysia (MTC) di Pusat Biokomposit dan Gentian (FIDEC), Olak Lempit, di sini pada Sabtu.

Dalam lawatan sulung selepas menjawat jawatan berkenaan, Zuraida berkata, 10,005 pekerja daripada syarikat kilang berasaskan kayu dan perabot telah divaksinasi untuk dos pertama yang berakhir pada 16 Ogos lepas dan hanya 1,500 dos kedua untuk diberikan dalam jangka masa dua hari.

Program Vacoms adalah anjuran bersama MTC dan Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) yang bermula dari 28 Julai hingga 6 September 2021.

Mengenai indeks pencapaian utama (KPI) MPIC dalam 100 hari pertama, Zuraida berkata, fokus diberikan kepada usaha-usaha pemasaran, peningkatan jualan dan kualiti produk.

“Ada beberapa perkara yang telah dibincangkan tetapi belum dimuktamadkan...sudah tentu kita akan fokus kepada perkara-perkara yang akan meningkatkan produktiviti, kualiti, kelestarian dan pengurusan yang berhemah serta menjimatkan kos,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, wujud kemungkinan penyusunan dan semakan semula dalam dasar kementerian dan akan ditambah baik jika ada keperluan. - Bernama