Perhimpunan #Lawan: Tujuh ahli SSR dipanggil rakam keterangan

Tujuh aktivis SSR dipanggil polis untuk siasatan lanjut berkenaan perhimpunan #Lawan. FOTO: ROSLI TAIB
Tujuh aktivis SSR dipanggil polis untuk siasatan lanjut berkenaan perhimpunan #Lawan. FOTO: ROSLI TAIB
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai tujuh ahli Sekretariat Solidariti Rakyat (SSR) dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk siasatan lanjut berkenaan himpunan #Lawan di sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, aktivis berkenaan dipanggil untuk dirakam keterangan berhubung penglibatan mereka dalam perhimpunan #Lawan yang dirancang pada 21 Ogos lepas.

"Mereka dipanggil berhubung siasatan kes penganjuran protes #Lawan oleh SSR pada 21 Ogos di Dataran Merdeka.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

Sementara itu, peguam mereka, Rajsurian Pillai mengesahkan tujuh individu berkenaan adalah Amir Abdul Hadi, Mohammad Asraf Sharafi Mohammad Azhar, Mohamad Abdullah Alshatry, Qyira Yusri, Tharmalinggam Pillai, Dobby Chew dan Sara Irdina.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan polis melarang orang ramai daripada berkumpul di sekitar kawasan ibu negara pada 21 Ogos walaupun pihak SSR sudah mengumumkan pembatalan perhimpunan pada tarikh tersebut.

Pada masa sama, pihak polis turut menutup 88 jalan masuk ke Kuala Lumpur malah perkhidmatan pengangkutan awam di stesen-stesen sekitar kawasan Masjid Jamek turut ditutup sementara pada hari tersebut.

Artikel Berkaitan: