Pendedahan Raja Petra: DAP harus disiasat - Najib

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menggesa kerajaan di bawah pentadbiran PH supaya tidak mengamalkan sikap pilih kasih berhubung siasatan melibatkan skandal rasuah.

Menurut Ahli Parlimen Pekan itu, pihak kerajaan harus menjalankan siasatan terhadap DAP sekiranya parti tersebut didapati terlibat melakukan rasuah.

"Kerajaan tak patut pilih kasih dan hanya siasat UMNO dan Pas.

"Jika siasatan sudah selesai dan jelas menunjukkan terdapat unsur rasuah, mengapa DAP tidak didakwa?," katanya menerusi Facebook hari ini.

Najib berkata demikian bagi mengulas pembongkaran penulis blog, Raja Petra Kamarudin berhubung kebocoran kertas siasatan Projek Terowong Dasar Laut Pulau Pinang.

Menurut beliau, Khamis lalu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berjanji untuk menjawab isu tersebut pada keesokan harinya (Jumaat).

"Bagaimanapun, sehingga kini dia (Guan Eng) belum memberi sebarang komen tuduhan rasuah besar seperti terkandung dalam kertas siasatan SPRM yang dibongkarkan oleh blogger RPK (Raja Petra Kamarudin).

"Selain tuduhan menerima rasuah secara tunai, kertas siasatan SPRM itu juga mendakwa syarikat konsesi Terowong Pulau Pinang setuju memberikan 10 peratus kepentingan dalam syarikat mereka kepada seorang menteri DAP untuk menerima projek mega yang dianggarkan bernilai berpuluh bilion," ulas Najib.

Artikel Berkaitan:

Tambah Najib, rentetan isu itu cuma seorang pemimpin DAP iaitu Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II, P. Ramasamy yang dinamakan dalam artikel Raja Petra memberikan respon.

Jelas P. Ramasamy, dia hanya akan jawab di mahkamah jika didakwa.

"Jika kertas siasatan SPRM ini sahih maka skandal rasuah DAP amat besar dan melibatkan nilai berpuluh bilion. Tuduhan RM90 juta kecoh berminggu-minggu tetapi skandal bernilai bilion senyap pula," ujarnya.

ARTIKEL BERKAITAN: https://www.sinarharian.com.my/article/15741/BERITA/Nasional/Siasatan-terowong-Pulau-Pinang-Raja-Putra-berbohong-kata-PM

Terdahulu, Jumaat lalu SPRM membuat laporan polis berhubung pendedahan Raja Petra mengenai kebocoran kertas siasatan Projek Terowong Dasar Laut Pulau Pinang yang melibatkan Lim Guan Eng dan beberapa pemimpin kanan DAP.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Mohd. Shukri Abdull berkata, pihaknya menyerahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjalankan siasatan.