PGA rampas 1,661 karton rokok seludup di Pontian

PGA5 merampas 1,661 karton rokok seludup pelbagai jenama di dua lokasi berasingan di kawasan taman perumahan Taman Pontian Jaya, di sini pada Jumaat. - Foto Bernama
PGA5 merampas 1,661 karton rokok seludup pelbagai jenama di dua lokasi berasingan di kawasan taman perumahan Taman Pontian Jaya, di sini pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

PONTIAN - Batalion Kelima Pasukan Gerakan Am (PGA5) merampas 1,661 karton rokok seludup pelbagai jenama di dua lokasi berasingan di kawasan taman perumahan Taman Pontian Jaya, di sini pada Jumaat.

Pegawai Pemerintah PGA5, Superintendan Dimin Awang berkata, dalam Op Kontraban pada jam 4.30 petang itu, pihaknya turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 57 tahun kerana dipercayai menyeludup kesemua rokok terbabit.

"Hasil siasatan awal mendapati individu itu telah menjalankan kegiatan tersebut sejak tiga bulan lepas dengan menjadikan kedua-dua lokasi sebagai stor penyimpanan sementara rokok seludup, sebelum diedarkan untuk pasaran sekitar daerah ini.

"Anggaran keseluruhan nilai rampasan termasuk sebuah kenderaan jenis Toyota Vios yang digunakan dalam kegiatan itu ialah RM360,098," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.

Menurut Dimin, suspek dan barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Pontian untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967.

Katanya, tangkapan dan rampasan itu berjaya memutuskan satu rangkaian sindiket pengedaran rokok tidak bercukai di sekitar daerah ini.

Beliau turut menyeru orang awam untuk menyalurkan maklumat kepada polis bagi mengekang lambakan barangan kontraban serta kemasukan pendatang asing tanpa izin di jalan yang tidak diwartakan melalui talian 07-7557280. - Bernama

Artikel Berkaitan: