10,005 pekerja kilang perkayuan, perabot di Selangor sudah divaksin

Zuraida (dua dari kiri) melakukan lawatan kerja ke PPVIN Program VACOMS MTC anjuran MTC dan Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) di Pusat Biokomposit dan Gentian (FIDEC), Olak Lempit, Banting pada Sabtu.
Zuraida (dua dari kiri) melakukan lawatan kerja ke PPVIN Program VACOMS MTC anjuran MTC dan Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) di Pusat Biokomposit dan Gentian (FIDEC), Olak Lempit, Banting pada Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Kayu-Kayan Malaysia (MTC) memperuntukkan sebanyak RM1.3 juta bagi mempercepatkan suntikan vaksin dalam kalangan pekerja perkayuan melalui Program Vaksinasi Untuk Sektor Agrikomoditi (VACOMS) di Malaysia.

Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi (KPPK) menerusi kenyataan memaklumkan, seramai 10,005 pekerja syarikat kilang berasaskan kayu dan perabot bakal menerima dos kedua vaksin selepas menerima dos pertama pada 16 Ogos lalu menerusi program berkenaan.

"Program VACOMS dilancarkan bagi membendung kluster tempat kerja di kilang-kilang dan mewujudkan tempat kerja yang selamat bagi membolehkan industri terus beroperasi untuk kesinambungan perniagaan.

"Ini selaras dengan arahan kerajaan yang menetapkan peratusan tenaga kerja di kilang bergantung kepada bilangan pekerja yang divaksin," kata kenyataan itu pada Sabtu.

ARTIKEL BERKAITAN: MTC peruntuk RM1.3 juta vaksinasi pekerja sektor perkayuan

Pada Sabtu, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin turut melakukan lawatan kerja ke Pusat Pemberian Vaksin Industri (PPVIN) Program VACOMS MTC anjuran MTC dan Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) di Pusat Biokomposit dan Gentian (FIDEC), Olak Lempit, Banting di sini.

Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang turut menyampaikan cenderahati penghargaan kepada semua agensi dan persatuan industri perkayuan yang terlibat di dalam menjayakan program tersebut.

Dalam pada itu, KPPK berkata, MTC akan terus bekerjasama dengan persatuan dan syarikat perkayuan selain menyediakan subsidi sebanyak RM30 untuk setiap vaksin bagi setiap pekerja kilang dalam sektor berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"KPPK berharap lebih banyak agensi membuka PPVIN dalam usaha memastikan semua pekerja dalam industri agrikomoditi menerima vaksin bagi mewujudkan imuniti kelompok demi merancakkan kembali ekonomi negara," kata kenyataan sama.