Tragedi kepala air: RM2.4 juta baik pulih sekolah terjejas

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin (dua dari kiri) meninjau keadaan SK Haji Nyak Gam yang terjejas akibat fenomena kepala air dalam lawatan kerja pada Sabtu.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin (dua dari kiri) meninjau keadaan SK Haji Nyak Gam yang terjejas akibat fenomena kepala air dalam lawatan kerja pada Sabtu.
A
A
A

YAN - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memperuntukkan kira-kira RM2.4 juta untuk membaik pulih kerosakan empat sekolah akibat banjir lumpur susulan fenomena kepala air Gunung Jerai di sini pada 18 Ogos lalu.

Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, empat sekolah terjejas adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Yan; Sekolah Kebangsaan (SK) Langkasuka; Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) York Khoon dan SK Haji Nyak Gam.

"Secara keseluruhan, sejumlah RM2.4 juta diperuntukkan untuk sekolah di Yan bagi membaiki kemudahan dan menggantikan aset rosak akibat banjir tersebut.

"Projek-projek ini dipastikan dapat dilaksanakan secepat mungkin bagi memastikan sekolah dalam keadaan baik dan tersedia apabila sampai masa untuk dibuka kelak," katanya selepas lawatan kerja ke SK Haji Nyak Gam di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guar Chempedak, Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail.

Mengulas lanjut, Mohd Radzi berkata, empat sekolah itu antara empat sekolah di daerah berkenaan yang terjejas teruk dimasuki selut hingga mencapai paras lebih setengah meter.

"Ada sekolah menerima peruntukan banyak dan ada yang dapat sedikit namun keseluruhannya RM2.4 juta untuk sekolah terlibat.

"Berdasarkan lawatan ke beberapa sekolah, ada tambahan peruntukan untuk sekolah terlibat berdasarkan keperluan yang perlu diambil tindakan segera," kata beliau lagi.

Artikel Berkaitan:

Menurut Mohd Radzi, empat sekolah terkesan teruk akibat fenomena kepala air pada Ogos lalu mampu dibaik pulih sebelum sekolah dibuka tidak lama nanti.

"Boleh, berdasarkan pemantauan. Saya sudah maklumkan kepada Pengarah Pendidikan Kedah serta Ketua Setiausaha (KSU) supaya kerosakan dipulihkan segera bagi memastikan murid sekolah yang terkesan akibat banjir dapat kembali seperti sedia kala apabila dibuka kelak," katanya.