New Zealand lapor kes kematian pertama babit varian Delta

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

WELLINGTON - New Zealand melaporkan kematian pertama membabitkan varian Delta, menurut Kementerian Kesihatan dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Sebanyak 20 kes baharu Covid-19 melibatkan penularan tempatan dilaporkan di Auckland pada Sabtu, lapor Agensi Berita Xinhua.

Kes kematian itu membabitkan wanita berusia 90an dan mempunyai sejarah penyakit kronik.

Perdana Menteri, Jacinda Ardern mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa.

"Rakyat yang lebih tua dan mempunyai masalah kesihatan paling berisiko terkena virus itu. Satu daripada kunci utama adalah untuk menghentikan penularannya," kata Ardern.

Menurut kenyataan itu, masalah kesihatan wanita berkenaan menyebabkan dia tidak boleh diberikan bantuan pernafasan atau rawatan di unit rawatan rapi.

Auckland bandar raya terbesar di New Zealand dikenakan Sekatan Pergerakan Tahap Empat dan seluruh negara pula di bawah Sekatan Tahap Tiga. - Bernama

Artikel Berkaitan: