X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 19 Oktober 2021

Jangan terburu-buru buka sekolah, kata Ahmad Zahid

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan digesa tidak terburu-buru membuka semula sekolah untuk proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara bersemuka pada 3 Oktober ini memandangkan kadar jangkitan Covid-19 masih tinggi.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pembukaan sekolah itu melibatkan keselamatan pelajar serta warga pendidik dan pengalaman yang lepas perlu dijadikan pengajaran.

"Jangan sesekali mengambil risiko yang tidak pasti. Tidak perlu terburu-buru sekali lagi. Elakkan kesilapan lama berulang.

"Jangan sudah terhantuk baru tengadah. Jadikan pengalaman yang lepas sebagai pengukur dalam membuat keputusan terbaik," katanya dalam satu hantaran di Facebooknya pada Sabtu.

ARTIKEL BERKAITAN: Sekolah akan tetap dibuka 3 Oktober: Menteri Pendidikan

Pada Jumaat, Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin mengesahkan sesi persekolahan secara bersemuka tetap dilaksanakan pada 3 Oktober ini.

Kata beliau, bagaimanapun sesi berkenaan tidak melibatkan negeri-negeri yang masih berada dalam Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Ahmad Zahid berkata, terlalu banyak perkara perlu diperhalusi secara mendalam sebelum membuka sesi persekolahan kerana rata-rata murid sekolah masih belum menerima suntikan vaksin Covid-19.

Tambah Ahli Parlimen Bagan Datuk itu, meskipun prosedur operasi standard (SOP) akan lebih diperketat, namun sejauh mana ia benar-benar berkesan dalam melindungi murid perlu dijadikan keutamaan.

"Perlu ingat, pada 26 April lalu Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan seramai 23,739 pelajar bawah umur 12 tahun telah dijangkiti Covid-19. Berdasarkan data itu Kementerian Kesihatan mengaku betapa mudah kes ditularkan di sekolah akibat pergaulan sedangkan dilaksanakan pelbagai SOP.

"Pada ketika itu kes jangkitan harian di seluruh negara cuma sekitar 2,000 lebih. Pada hari ini jangkitan harian lebih 18,000 kes dan masih belum menunjukkan penurunan," katanya.

Beliau berpandangan, tiada ibu bapa atau penjaga sanggup meletakkan anak mereka dalam risiko kesihatan dan jika SOP kurang meyakinkan mungkin ramai dalam kalangan mereka enggan menghantar anak ke sekolah.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!