Guru tolak vaksin tetap kena datang sekolah, buat tugas lain

Mohd Radzi (kanan) mengadakan sidang akhbar selepas meninjau sekitar Sekolah Kebangsaan Haji Nyak Gam yang rosak akibat dinaiki banjir lumpur ketika melawat sekolah itu pada Sabtu. - Foto Bernama
Mohd Radzi (kanan) mengadakan sidang akhbar selepas meninjau sekitar Sekolah Kebangsaan Haji Nyak Gam yang rosak akibat dinaiki banjir lumpur ketika melawat sekolah itu pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

YAN - [DIKEMASKINI] Seramai 2,500 guru yang menolak vaksin tetap perlu ke sekolah walaupun dilarang mengajar secara bersemuka apabila sekolah dibuka pada 3 Oktober depan.

Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, guru yang enggan menerima vaksin itu akan diminta ke sekolah bagi melakukan tugasan lain kerana banyak lagi tugasan perlu dilakukan.

"Guru-guru ini tidak dibenarkan untuk mengajar murid secara bersemuka dalam kelas tetapi akan diberi tugasan lain di sekolah.

"Pada masa sama, kami sedang berbincang dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengenai tindakan selanjutnya untuk guru-guru ini (tolak vaksin)," katanya kepada pemberita selepas lawatan kerja ke Sekolah Kebangsaan (SK) Haji Nyak Gam, di sini, pada Sabtu.

Mohd Radzi (dua dari kiri) diiringi Guru Besar Sekolah Kebangsaan Haji Nyak Gam, Mohd Rosli Hassan (dua, kanan) melawat sekitar sekolah yang rosak selepas dinaiki banjir lumpur ketika melawat ke sekolah itu pada Sabtu. - Foto Bernama
Mohd Radzi (dua dari kiri) diiringi Guru Besar Sekolah Kebangsaan Haji Nyak Gam, Mohd Rosli Hassan (dua, kanan) melawat sekitar sekolah yang rosak selepas dinaiki banjir lumpur ketika melawat ke sekolah itu pada Sabtu. - Foto Bernama

Ketika mengulas sama ada tindakan keras diambil terhadap guru-guru berkenaan, Mohd Radzi berkata, perbincangan dengan JPA itu dilakukan antaranya mengenai pendekatan selanjutnya yang boleh diambil berhubung isu tersebut.

"Tidak dibenarkan mengajar secara bersemuka dalam kelas merupakan tindakan segera sekiranya sekolah dibuka dan pada masa sama sedang berbincang dengan JPA mengenai tindakan selanjutnya kepada mereka sebagai seorang penjawat awam," tegas beliau.

Mohd Radzi berkata, pihaknya perlu duduk berbincang dengan JPA mengenai tindakan selanjutnya sehingga menerima maklum balas terbaharu daripada mereka.

Artikel Berkaitan:

Katanya, perbezaan perlu dilihat antara guru tidak menerima vaksin disebabkan masalah kesihatan dengan guru yang memilih untuk menolak divaksinasi.

Sehubungan itu, Mohd Radzi memberitahu, beliau sendiri akan berhubung dengan sebahagian daripada guru yang menolak vaksin tersebut.

Tambah beliau, kaji selidik masih dijalankan sekolah bagi mendapatkan gambaran awal terhadap penerimaan ibu bapa membenarkan anak mereka menerima vaksin.

Dalam perkembangan sama, Mohd Radzi berkata, bukan semua sekolah dibuka semula pada 3 Oktober depan.

"Ramai beranggapan semua sekolah dibuka pada tarikh itu tapi sebenarnya tidak dan ia akan ada fasa serta peringkat pembukaan sekolah," kata beliau.

Menurutnya, kementerian akan mengadakan satu sidang media untuk menjelaskan prosedur operasi standard (SOP) mengenai kaedah pembukaan sekolah dan sebagainya selepas sesi libat urus.