'Kami tidak boleh kalah lagi'

Skuad Penyu dalam misi melakar kemenangan ke atas juara Liga Super, JDT malam ini. - Foto Terengganu FC
Skuad Penyu dalam misi melakar kemenangan ke atas juara Liga Super, JDT malam ini. - Foto Terengganu FC
A
A
A

DUA kali kekalahan berturut-turut dialami Terengganu FC, tidak menyekat keazaman tinggi skuad Penyu dalam misi melakar kemenangan ke atas juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada Sabtu.

Pertahanan Terengganu, Shahrul Nizam Ros Hani menghormati kemampuan JDT yang telah melakar kemenangan sembilan kali berturut-turut, namun itu tidak bermakna Sang Penyu gentar untuk memberikan tentangan kepada skuad kendalian Benjamin Mora.

Menyedari Harimau Selatan akan turun dalam misi membalas dendam di atas kekalahan 0-1 pada 24 April lalu di Stadium Sultan Ibrahim, Shahrul Nizam akui mereka perlu lebih berwaspada memandangkan lawan dijangka menurunkan barisan terbaik biarpun sudah mengesahkan kejuaraan liga.

“Sasaran kami masih lagi mahu bersaing di Piala AFC selepas terkilan tidak dapat bermain pada musim ini dan kedudukan selaku naib juara Liga Super lebih menjamin buat kami memandangkan tempat ketiga perlu menunggu pemenang Piala Malaysia.

“Sememangnya saya dan rakan-rakan mahukan kemenangan dalam perlawanan ini kerana ia pasti jadi pengubat terbaik selepas kami kalah pada dua perlawanan sebelum ini yang menjejaskan peluang kami untuk berada dalam kalangan kedua terbaik.

“Kami sedar tidak boleh kalah lagi jika mahu terus merapati kedudukan Kedah selain Penang juga meraih mata sama dengan kami. Selepas ini hanya tinggal satu perlawanan sahaja lagi.

“Saya sedar JDT sememangnya sebuah pasukan yang sangat kuat tetapi itu tidak bermakna saya dan rakan-rakan takut untuk berdepan mereka sebaliknya kami akan lebih bersemangat.

“Ketiadaan Carli de Murga yang merupakan ketua pasukan tidak menjejaskan kami kerana persefahaman dengan gandingan saya, Muhammad (Mohd Fauzi) di bahagian pertahanan tengah semakin meningkat dari setiap perlawanan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Berusia 23 tahun, Shahrul Nizam yang berasal dari Bachok merupakan antara muka baharu diambil Nafuzi Zain pada musim ini dari Kelantan dan sering kali menjadi pilihan utama di bahagian pertahanan.