Ferguson umpama ayah dalam arena bola sepak Ronaldo

IMBAS KEMBALI...Ronaldo dan Ferguson menerima anugerah pemain dan pengurus bulanan terbaik liga sebelum perlawanan menentang Arsenal di Old Trafford, Manchester pada 13 April 2008. - Foto AFP
IMBAS KEMBALI...Ronaldo dan Ferguson menerima anugerah pemain dan pengurus bulanan terbaik liga sebelum perlawanan menentang Arsenal di Old Trafford, Manchester pada 13 April 2008. - Foto AFP
A
A
A

CRISTIANO Ronaldo mendedahkan keakraban dengan bekas pengendali Manchester United, Sir Alex Ferguson memainkan peranan penting menyakinkan penyerang Portugal itu untuk kembali ke Old Trafford.

Ferguson bersara sebagai pengendali The Red Devils pada 2013, empat tahun selepas Ronaldo yang menyertai United pada 2003 berhijrah ke Real Madrid dengan rekod perpindahan 80 juta Pound (RM458 juta) menyaksikan pemain itu menghabiskan sembilan musim di Bernabeu dengan menjaringkan 450 gol dalam 438 penampilan.

Bagaimanapun, beliau yang merupakan duta kelab tersebut menyakini kemampuan kelab tersebut di bawah kendalian Ole Gunnar Solskjaer, yang pernah beraksi di bawah seliaan Ferguson dalam beberapa tahun.

Ronaldo yang sebelum itu berhajat untuk melakukan penampilan semula di saingan Liga Perdana Inggeris dengan menyertai penyandang juara, Manchester City, sehinggalah Ferguson dan beberapa bekas rakan sepasukan The Red Devils sebelum ini menasihatinya perpindahan ke The Citizens merupakan tindakan berisiko.

“Pada saya, Sir Alex Ferguson umpama seorang ayah dalam arena bola sepak kepada saya.

“Beliau banyak menolong selain mengajar saya pelbagai perkara, dan sudah semestinya beliau memainkan peranan penting dalam keakraban kami, malah kami sentiasa berhubungan sepanjang masa, dan merupakan individu yang luar biasa.

“Sejujurnya, saya amat menyenangi beliau, dan beliau juga merupakan faktor utama yang membentuk Ronaldo sekarang, ini antara penyebab saya menyertai Manchester United,” kata Ronaldo.

Sepanjang bersama The Red Devils sebelum ini, bintang Portugal berusia 36 tahun itu menjulang satu daripada lima kejuaraan Liga Juara-Juara dan kali pertama dimahkotakan pemain terbaik dunia ketika enam tahun di United antara 2003 dan 2009.

Artikel Berkaitan:

Keseluruhannya, Ronaldo menjaringkan 118 gol dalam 292 perlawanan, juga memenangi tiga kejuaraan Liga Perdana, satu Piala FA dan dua Piala Liga.

Biarpun begitu, prestasi kelab gergasi Inggeris itu merosot sejak Ferguson mengumumkan persaraannya.

Manchester United, tidak pernah menjuarai Liga Perdana Inggeris sejak 2013, malah kali terakhir The Red Devils menjulang kejuaraan Liga Juara-Juara adalah ketika Ronaldo menjaringkan gol ketika menentang Chelsea dalam perlawanan akhir pada 2008.

Ronaldo akan menganjak usia ke 37 tahun pada Februari, namun percaya mampu memberi impak dalam mengembalikan semula era kegemilangan The Red Devils.

“Saya percaya ini merupakan keputusan yang tepat pernah saya ambil dalam karier bola sepak saya.

“Ini merupakan permulaan baharu, saya amat gembira dan bangga, malah saya bertekad meneruskannya seperti seperti sebelum ini, mencipta sejarah, selain membantu Manchester United mencipta lebih banyak keputusan positif di samping meraih trofi kejuaraan,” katanya.

Ronaldo dijangka diturunkan untuk debut pertama dalam penampilan kedua kali bersama The Red Devils apabila melayan kunjungan Newcastle United di Old Trafford pada 11 September.