X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 06 Julai 2022

Melaka United bangkit tunjuk Perak jalan ke Liga Premier

Antara aksi menarik pertemuan Melaka United menentang Perak di Stadium Hang Jebat di sini, malam ini. -Foto Melaka United FC
A
A

MELAKA United mengekalkan kedudukan dalam Liga Super musim depan selepas menyingkirkan Perak FC ke Liga Premier dengan kemenangan 2-1 di Stadium Hang Jebat di sini, malam ini.

Keputusan itu menyaksikan Melaka United mengumpul 21 mata dan memperbaiki kedudukan ke tangga ketujuh, sekali gus meranapkan misi wajib pelawat yang tersingkir buat pertama kali dalam saingan liga utama negara ini.

Kedua-dua pasukan turun dengan misi memburu tiga mata penting bagi menyelamatkan pasukan daripada zon penyingkiran dengan menyaksikan Melaka United terlebih dahulu melakukan gerakan ke arah gawang lawan menerusi beberapa percubaan di kawasan pelawat.

Percubaan terbaik tuan rumah untuk mendapatkan gol pendahuluan pada minit ke-10 gagal dimanfaatkan Mohamad Fakhrullah Rosli dan Giovane Gomez selepas bola muntah daripada dakapan penjaga gol muda Perak, Nasrullah Abdul Aziz dalam situasi kelam kabut di depan gawang.

Sekali lagi Melaka United memperoleh peluang untuk membuka jaringan pada minit ke-17, menerusi sepakan percuma pemain import dari Haiti, Sony Norde namun rembatan derasnya sekadar singgah di palang gol.

Bagaimanapun Bos Gaurus terlebih dahulu memecah kebuntuan pada minit ke-30 menerusi jaringan penalti yang disempurnakan Sergio Augero selepas rakan sepasukannya, Muhammad Syahir Bashah dijatuhkan Khairul Anwar Shahrudin dalam kotak penalti.

Pada minit ke-33 Perak FC yang bersemangat terus mencemaskan tuan rumah untuk menambah jaringan menerusi rembatan Muhammad Adib Abdul Ra'op hasil lorongan Augero namun tindakan pantas Khairul Fahmi Che Mat berjaya menyelamatkan bola dari memasuki gawang.

Melaka United yang tertekan terus diasak namun keputusan itu kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, skuad Sang Kancil yang terdesak terus agresif mengasak ke kubu lawan namun gol yang dicari akhirnya muncul minit ke-66 menerusi Manuel Ott yang melakukan larian solo dari tengah padang sebelum merembat kencang bola menewaskan Mohammad Nasrullah Abdul Aziz.

Jaringan itu nyata menyuntik semangat kepada Melaka United yang berjaya menjaringkan gol kemenangan gol pada minit ke-79 menerusi Sony Norde hasil rembatan deras di luar kotak penalti. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!