Harapan terakhir kontinjen Malaysia

Dek Wan tekad memberikan aksi terbaik dalam mempertahankan emas dimenanginya di Rio 2016 esok.
Dek Wan tekad memberikan aksi terbaik dalam mempertahankan emas dimenanginya di Rio 2016 esok.
A
A
A

HARAPAN terakhir Kontinjen Malaysia untuk mencapai sasaran pada Sukan Paralimpik kini dilihat terletak di bahu tiga atlet yang akan beraksi pada hari ke-11 temasya berprestij itu esok.

Dua pemenang emas Rio 2016, iaitu Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi bagi acara 100m T36 (kecacatan fizikal) dan Abdul Latif Romly dalam acara lompat jauh T20 (kecacatan intelektual) serta juara dunia badminton enam kali, Cheah Liek Hou berpotensi untuk menyumbang sekurang-kurangnya dua emas lagi bagi melengkapkan sasaran tiga emas yang diletakkan sebelum ini.

Malaysia sudah meraih emas pertama menerusi jaguh powerlifting, Bonnie Bunyau Gustin dalam acara lelaki 72 kilogram (kg) Sabtu lepas manakala rakan sepasukannya, Jong Yee Khie merangkul perak bagi acara 107kg Isnin lepas.

Kelmarin, atlet boccia Chew Wei Lun memenangi perak kedua Malaysia selepas tewas 2-4 kepada juara bertahan dari Great Britain, David Smith dalam acara individu campuran BC1 (kecacatan fizikal).

Mohamad Ridzuan berjaya mara ke final selepas menduduki tempat keempat keseluruhan dengan catatan masa 12.06 saat pada saringan kedua di pusingan pertama yang berlangsung di Stadium Olimpik, hari ini.

Lebih mesra dipanggil "Dek Wan”, pelari berusia 33 tahun itu memberitahu sejurus selepas aksinya malam ini bahawa beliau yakin mempertahankan emas dimenanginya di Rio 2016, dalam aksi final kira-kira jam 10.38 pagi (9.38 pagi waktu Malaysia) esok.

Selepas itu, sesi kedua saingan olahraga esok bakal menyaksikan Abdul Latif pula beraksi bagi merealisasikan impiannya memenangi emas kedua berturut-turut di pentas Paralimpik, pukul 7 malam (6 petang waktu Malaysia).

Dalam pada itu, Liek Hou yang bertanding dalam perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal), berpeluang mencipta sejarah menjadi antara pemenang awal pingat badminton yang pertama kali dipertandingkan di Sukan Paralimpik, esok.

Artikel Berkaitan:

Beliau yang menjuarai Kumpulan B selepas mengekalkan rekod bersih tanpa kalah, menerusi kemenangan terakhir peringkat kumpulan ke atas pemain tuan rumah Taiyo Imai, 21-19, 21-12, tengah hari tadi akan bersaing dalam saingan separuh akhir di Stadium Nasional Yoyogi esok.

Pemain ranking kedua dunia itu akan membuat perhitungan dengan pemain Taiwan, Jen Yu Fang dalam separuh akhir, pukul 10.30 pagi (9.30 pagi waktu Malaysia).

Liek Hou sebelum ini pernah menewaskan Yu Fang, 21-13, 21-9, pada aksi kedua Kumpulan B semalam.

Perlawanan pingat emas dan penentuan pingat gangsa juga akan berlangsung pukul 4 petang (3 petang waktu Malaysia) esok.

Sementara itu, cuaca hujan serta keadaan angin kuat menjejaskan seorang lagi prospek pingat Malaysia, S Suresh untuk menampilkan panahan cemerlang di Lapangan Memanah Yumenoshima Park selepas tersingkir seawal pusingan pertama pagi tadi.

Suresh yang merupakan juara dunia 2019 ditunjuk jalan keluar apabila tumpas 2-6 kepada pemanah Jawatankuasa Paralimpik Rusia, Bato Tsydendorzhiev.

Saingan di Pusat Akuatik Tokyo pula menyaksikan perenang kebangsaan dari Sabah, Brenda Anellia Larry tidak berupaya ke final acara final 50 meter kuak lentang wanita S4 (kecacatan fizikal).

Atlet berusia 16 tahun itu menamatkan renangannya di kedudukan kelima dalam saringan pertama dan mencatat masa 59.33s, selain menduduki tempat ke-11 daripada 15 perenang menerusi dua saringan yang diadakan hari ini.

Tiada atlet Malaysia dijangka beraksi pada hari terakhir Sukan Paralimpik Tokyo, Ahad ini. - Bernama