KPT rancang buka semula IPT

Noraini
Noraini
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) merancang membuka semula institusi pengajian tinggi (IPT) untuk kemasukan pelajar secara fizikal bagi Sesi Akademik 2021/2022 dalam semua fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula Oktober tahun ini.

Menteri berkenaan, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, rancangan itu adalah melalui Pelan Pemulihan IPT (Pemulih IPT) dan langkah tersebut selari dengan usaha membolehkan pelajar pulang ke IPT apabila kesemuanya lengkap divaksin seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam perutusan khas beliau pada 22 Ogos lepas.

Beliau berkata, perkara itu juga telah dipersetujui dalam Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara pada Khamis.

“Bagi menjayakan agenda ini, petang tadi (Jumaat) saya telah berjumpa dengan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin bagi mencadangkan supaya pelajar dan kakitangan IPT diberikan keutamaan untuk mendapat vaksin di lokaliti masing-masing.

“Panjang lebar perbincangan kami petang tadi dan matlamat kami adalah sama untuk menyediakan komuniti kampus yang selamat menjelang Oktober nanti,” menurutnya dalam hantaran di laman Facebook pada Jumaat malam.

Noraini berkata, KPT mengunjurkan keperluan sebanyak 1.296 juta dos vaksin bagi 648,000 pelajar yang masih belum menerima vaksin dan KPT mencadangkan supaya pusat pemberian vaksin IPT dijadikan PPV khusus untuk pelajar serta kakitangannya.

Beliau berkata, langkah itu bagi membolehkan program vaksinasi pelajar dilaksana secara besar-besaran. - Bernama

Artikel Berkaitan: