Polis lengkapkan siasatan kes ajaran sesat PMYT

Abdul Jalil Hassan
Abdul Jalil Hassan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia(PDRM) sedang melengkapkan siasatan berhubung kes ajaran sesat Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT) yang dikaitkan dengan seorang wanita baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abdul Jalil Hassan berkata, suspek terlibat dalam ajaran sesat ini telah dikenal pasti.

"Usaha mengesan serta mengenal pasti individu lain yang terlibat dalam kes ini sedang dijalankan bagi melengkapkan siasatan.

"Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Katanya, pihaknya turut mengesahkan sedang menjalankan siasatan terhadap pemilik Facebook Masitah Ab Jabar atau dikenali sebagai Sittah Annur.

"Individu ini dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan ajaran sesat Perjalanan Mimpi Yang Terakhir.

"Siasatan menjurus kepada penularan beberapa rakaman video mengandungi kenyataan yang menyentuh akidah serta ajaran Islam melalui akaun YouTube dan beberapa platform media sosial sejak beberapa hari lalu," katanya.

Pada Khamis, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengenal pasti individu yang terlibat dengan ajaran sesat PMYT dan sedang melakukan siasatan lengkap terhadap perkara itu.

Artikel Berkaitan:

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, PDRM kini sedang dalam perancangan untuk memanggil individu tertentu bagi membantu siasatan dan sedang memantau ketat ajaran tersebut selain memastikan perkara itu tidak akan menyebabkan kegusaran awam.

Tular di media sosial baru-baru ini seorang wanita dengan gelaran Sittah Annur dikaitkan dengan ajaran sesat PMYT mendakwa kononnya akan berlaku Perang Dunia Ketiga bermula di Sabah dan memimpin pasukannya bagi mencari imam Mahdi untuk melawan musuh.