'Kit ujian pantas antigen Covid-19 sepatutnya percuma'

P Prabakaran
P Prabakaran
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran menyifatkan penetapan harga siling untuk kit ujian pantas antigen Covid-19 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) adalah satu langkah baik.

Bagaimanapun, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Wilayah Persekutuan itu berpandangan, kerajaan sepatutnya menyediakan kit saringan itu secara percuma kepada seluruh rakyat di negara ini.

Menurutnya, kerajaan juga harus memberikan perkhidmatan kesihatan percuma bukan dengan kadar berpatutan kerana keadaan ekonomi semasa dan kuasa beli rakyat yang semakin menyusut.

"Kerajaan Persekutuan harus menjadikan kerajaan Selangor sebagai satu contoh kerajaan yang prihatin dengan memberikan sebanyak 60,000 kit saringan (Covid-19) secara percuma.

"Rakyat semakin tertekan dengan keadaan semasa, namun adakah kita mahu menekan mereka dengan bebanan untuk membeli kit ujian antigen," soalnya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Dalam pada itu, beliau mencadangkan agar kerajaan 'mencantas' bilangan menteri dan timbalan menteri serta timbalan menteri kedua untuk menampung kos ujian saringan percuma kepada setiap rakyat.

Menurutnya, barisan Kabinet dan kementerian sekarang adalah lebih daripada apa yang rakyat perlukan kerana dana negara digunakan untuk mengembirakan ahli politik dan bukannya rakyat.

Beliau sehubungan itu menyarankan agar KKM dapat memberikan kit ujian antigen secara percuma kepada rakyat yang memerlukan pemeriksaan.

Artikel Berkaitan:

"Harga siling borong atau runcit bukan apa yang mahu rakyat dengar, rakyat hanya mahu dengar bantuan ikhlas daripada kerajaan semasa mereka merana dengan pandemik Covid-19," katanya.

Pada Khamis, Kementerian Kesihatan dan Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memutuskan harga runcit maksimum bagi kit ujian pantas antigen Covid-19 (ujian sendiri) di pasaran tempatan ditetapkan RM19.90 seunit berkuat kuasa Ahad ini.

Pada Jumaat, kerajaan memutuskan keputusan penetapan harga siling bagi penjualan kit ujian pantas (RTK) antigen secara kendiri di pasaran adalah muktamad.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, kerajaan tidak bercadang menunda tarikh penguatkuasaan itu yang ditetapkan bermula Ahad ini dan tidak tunduk kepada mana-mana desakan pihak tertentu.