Dua penjawat awam antara sembilan ditahan sertai parti liar

Mior Faridalathrash
Mior Faridalathrash
A
A
A

IPOH - Dua penjawat awam antara sembilan yang ditahan dalam serbuan parti liar di sebuah kondominium, di sini awal pagi Jumaat.

Serbuan jam 1.10 pagi itu dilakukan sepasukan pegawai Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak menerusi Op Noda.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, operasi berkenaan menyasarkan sekumpulan suspek yang sedang mengadakan parti liar.

"Dalam operasi tersebut, polis berjaya menahan tujuh lelaki dan dua wanita yang semuanya warga tempatan berusia lingkungan 20 hingga 47 tahun.

"Mereka merupakan dua kakitangan kerajaan, tiga pekerja swasta, dua bekerja sendiri dan dua lagi penganggur, masing-masing mengaku sebagai rakan," katanya dalam kenyataan di sini pada Jumaat.

Menurutnya, semasa serbuan dijalankan, tiada sebarang dadah dijumpai, namun hasil ujian saringan awal air kencing mendapati, enam daripada mereka termasuk seorang wanita, positif dadah jenis ketamin dan methamphetamine.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. Siasatan juga mendapati kondominium yang diserbu disewa oleh seorang suspek yang ditangkap," katanya.

Beliau berkata, kesemua yang ditahan telah dikenakan kompaun berjumlah keseluruhan RM18,000 atas kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

Artikel Berkaitan:

"Kompaun dikeluarkan mengikut Peraturan 17 Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit," katanya.

Mior Faridalathrash turut mengingatkan orang ramai agar tidak sesekali terlibat dalam sebarang aktiviti penyalahgunaan dadah.

"Polis Perak akan terus memperhebat operasi pembanterasan aktiviti penagihan, penyeludupan dan pengedaran dadah di negara ini khususnya di Perak bagi memastikan keselamatan masyarakat terpelihara," katanya.