7 aktiviti pelancongan utama dibenar di Langkawi pada 16 September

Aktiviti pantai, sukan air, snorkeling serta selam skuba antara tujuh aktiviti yang dibenarkan di Langkawi sempena pembukaan semula pulau peranginan itu kepada pelancong tempatan pada 16 September ini.
Aktiviti pantai, sukan air, snorkeling serta selam skuba antara tujuh aktiviti yang dibenarkan di Langkawi sempena pembukaan semula pulau peranginan itu kepada pelancong tempatan pada 16 September ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan membenarkan tujuh aktiviti pelancongan utama di Langkawi sempena pembukaan semula pulau peranginan itu kepada pelancong tempatan pada 16 September ini.

MOTAC dalam kenyataan pada Jumaat berkata, ia merangkumi kebenaran penginapan di hotel dan homestay termasuk semua fasiliti dalam premis hotel dan homestay (rumah inap), aktiviti perniagaan seperti mesyuarat, insentif, konvensyen, dan pameran serta acara-acara pelancongan dan kebudayaan.

“Kebenaran juga diberikan untuk produk tarikan utama pelancong seperti aktiviti pantai, sukan air, snorkeling, selam skuba, pelancongan memancing, pusat edutainment, taman rekreasi, sukan lasak atau pengembaraan (adventure) atau taman semulajadi (nature parks), ladang (farms), akuarium, zoo dan lain-lain kegiatan riadah, rekreasi serta sosial.

“Aktiviti pelancongan minat khas seperti golf, selam skuba, berbasikal), memancing, pelayaran dan sebagainya juga dibenarkan,” kata kenyataan itu.

Turut dibenarkan ialah aktiviti eko geo-kembara seperti berkhemah, mendaki, kembara gua, dan ‘jungle trekking’ dan sebagainya.

MOTAC berkata, premis hasil seni, budaya dan warisan seperti muzium, perpustakaan, galeri seni, pusat atau kampung seni warisan budaya, pementasan persembahan budaya dan lain-lain juga dibenarkan beroperasi.

"Selain itu turut dibenarkan beroperasi ialah taman tema dan pusat hiburan keluarga serta lawatan bersifat akademik seperti ke Geopark Discovery Center, Balai Seni dan Laman Padi.

"Senarai lebih terperinci tertakluk kepada perubahan semasa akan diumumkan nanti," jelas kenyataan itu.

Artikel Berkaitan:

Pada masa sama MOTAC juga sedang menyediakan pakej pelancongan yang lebih menarik untuk seluruh Keluarga Malaysia sebagai menghargai sokongan dalam merancakkan semula aktiviti pelancongan domestik apabila kebenaran diberikan kelak.

Selain itu MOTAC juga akan sentiasa membuat pemantauan dan mengadakan beberapa lagi sesi libat urus dengan para penggiat industri pelancongan serta pemegang taruh berkaitan bagi meluaskan gelembung pelancongan ini secara berfasa.

Pada Khamis, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Langkawi telah dipilih sebagai projek rintis untuk dibuka kembali kepada pelancong tempatan bermula 16 September ini manakala destinasi pelancongan lain akan dibenarkan beroperasi apabila kadar vaksinasi lokaliti mencapai 80 peratus. - Bernama