Nenek antara ditahan sertai parti liar

17 individu ditahan dalam serbuan ke atas satu parti liar di sebuah residensi mewah di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur pada malam Khamis.
17 individu ditahan dalam serbuan ke atas satu parti liar di sebuah residensi mewah di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur pada malam Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang nenek berusia 54 tahun antara 17 yang ditahan dalam serbuan ke atas satu parti liar di sebuah residensi mewah di Jalan Sultan Ismail dekat sini pada Khamis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sahar Abd Latif berkata, siasatan mendapati parti tersebut dianjurkan oleh seorang wanita tempatan berusia 23 tahun sempena ulang tahun kelahirannya.

"Dalam serbuan sekitar jam 11.55 malam itu, polis menangkap lapan lelaki dan sembilan perempuan warga tempatan berusia dalam lingkungan 13 hingga 54 tahun.

"Antara pengunjung ialah seorang lelaki, pelajar sekolah berusia 13 tahun yang mengikuti abangnya menyertai parti tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati tiada bayaran dikenakan untuk menyertai parti tersebut dan premis berkenaan disewa oleh penganjur terbabit dengan harga RM350 sehari.

Menurutnya, ujian saringan awal air kencing mendapati lapan daripada mereka positif dadah.

"Empat lelaki dan empat perempuan didapati positif dadah jenis methamphetamine dan ketamin.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 39A (1) dan Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952. Jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga lima tahun dan antara tiga hingga sembilan sebatan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada masa sama, katanya, kesemua pengunjung itu turut dikenakan kompaun berjumlah RM2,000 di bawah Akta 342 Pelan Pemulihan Negara (PPN) dengan nilai keseluruhan kompaun mencecah RM34,000

"Pemilik kediaman dan penganjur boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 13(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman denda hingga RM10,000 atau penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali," ujarnya.