Kes Covid-19 di Sarawak dijangka terus meningkat

Kes positif Covid-19 di Sarawak dijangka meningkat dalam beberapa minggu akan datang berikutan lebih banyak ujian saringan dilakukan di negeri itu. Gambar hiasan
Kes positif Covid-19 di Sarawak dijangka meningkat dalam beberapa minggu akan datang berikutan lebih banyak ujian saringan dilakukan di negeri itu. Gambar hiasan
A
A
A

KUCHING - Kes positif Covid-19 di Sarawak dijangka meningkat dalam beberapa minggu akan datang berikutan lebih banyak ujian saringan dilakukan di negeri itu, kata Penasihat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), Datuk Seri Dr Sim Kui Hian.

Beliau berkata, kerajaan negeri menjangkakan keadaan itu kerana lebih banyak pusat saringan Covid-19 dibuka di Sarawak.

“Kerajaan negeri telah membelanjakan RM2 juta untuk membeli kit ujian Rapid Antigen (RTK-Ag) untuk digunakan di Pusat Sehenti Covid-19 (COSC) di Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS),” katanya dalam hantaran menerusi akaun Facebook beliau pada Jumaat.

Dr Sim yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak berkata, rakyat di negeri ini juga perlu belajar dan hidup dengan virus Covid-19 sebagai endemik nanti.

“Vaksin amat penting tetapi dalam menghadapi varian Delta Covid-19 dan mengurangkan jangkitan komuniti dan tidak membanjiri sistem penjagaan kesihatan, kita perlu teruskan amalan dan disiplin yang ketat terhadap prosedur operasi standard (SOP),” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: