X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 26 Jun 2022

PPZ-MAIWP lancar Kempen Skim PZB Khas Warga PDRM

A
A

KUALA LUMPUR - Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) melancarkan Kempen Skim Potongan Zakat Bulanan (Skim PZB) Khas Warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) bermula Ogos sehingga Disember ini.

Kempen yang berlangsung selama empat bulan itu dilancarkan secara dalam talian pada Selasa oleh Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim bersama Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Abdul Hakim Amir Osman.

PPZ-MAIWP menerusi satu kenyataannya berkata, objektif utama kempen itu adalah untuk menggalakkan lebih ramai warga PDRM khususnya di Wilayah Persekutuan untuk menunaikan zakat pendapatan secara bulanan melalui potongan gaji.

"Kempen ini juga adalah galakan kepada warga PDRM untuk mengekalkan dan menambah pembayaran zakat mereka di PPZ-MAIWP," kata kenyataan itu pada Jumaat.

Dalam pada itu, MAIWP yang berperanan menjalankan agihan zakat di Wilayah Persekutuan memperuntukkan sebanyak RM10 juta untuk membantu lebih 27,000 keluarga asnaf setiap bulan dan jumlah ini dijangka akan terus meningkat.

Menurut kenyataan itu lagi, setakat Januari hingga Jun 2021, MAIWP telah mengagihkan sebanyak RM373.7 juta bantuan zakat kepada asnaf-asnaf di Wilayah Persekutuan.

"Dana yang diperuntukkan adalah bergantung sepenuhnya dengan hasil kutipan wang zakat.

"Justeru, Kempen Skim PZB Khas Warga PDRM ini dilihat sebagai salah satu inisiatif bagi memastikan wang zakat cukup untuk menampung perbelanjaan asnaf selari dengan slogan kempen ini iaitu Kitalah Wira Asnaf," katanya.

Sementara itu, Abdul Hakim berkata, berdasarkan rekod, seramai 2,705 warga PDRM telah membuat potongan zakat secara bulanan melalui Skim PZB dengan bayaran zakat melebihi RM1 juta.

"Insya-ALLAH dengan adanya kempen ini, kami yakin lebih banyak penglibatan warga PDRM membuat potongan zakat secara bulanan ini.

"Antara kelebihan lain Skim PZB ini adalah majikan layak mendapat Skim Wakalah atau pengembalian semula wang zakat sebanyak 12.5 peratus hingga 37.5 peratus jika potongan gaji kakitangan melebihi RM100,000," katanya.

Sementara itu, Mazlan pula berkata, mulai tahun 2021, PDRM mengorak langkah ke arah untuk menggalakkan warga PDRM di semua peringkat untuk membuat bayaran zakat melalui kaedah potongan gaji di PPZ-MAIWP.

"Kami menyasarkan 80 peratus warga PDRM membuat potongan gaji zakat agar manfaatnya dapat diberikan semula kepada warga PDRM yang memerlukan melalui wakalah majikan yang diagihkan di seluruh negara.

“Justeru itu, saya ingin menyeru kepada semua warga PDRM untuk bertindak segera membuat potongan gaji zakat kerana ia lebih konsisten di samping dapat meningkatkan peratus penerimaan wang wakalah daripada 12.5 peratus kepada 37.5 peratus," katanya.

Kempen ini terbuka kepada semua warga PDRM melalui saluran Skim PZB sama ada pembayar baharu atau yang menambah jumlah potongan zakat.

Cara-cara penyertaan, daftar Skim PZB secara dalam talian melalui Laman web - ptg.zakat.com.my atau secara manual (isi borang) yang boleh didapati di Kaunter PPZ-MAIWP di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, kaunter zakat bergerak dan majikan.

Warga PDRM yang bertuah turut berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik seperti komputer riba, tablet, telefon pintar, penggoreng udara dan baucar beli-belah.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai kempen ini, sila layari https://bit.ly/pzb-pdrm dan sebarang pertanyaan lanjut boleh e-mel kepada [email protected] atau hubungi talian zakat 1 300 88 5757.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!