Honda Malaysia harap dapat kembali momentum perniagaan

No Image Caption
A
A
A

HONDA Malaysia berharap untuk mendapatkan kembali momentum perniagaannya dalam empat bulan terakhir 2021 melalui pelancaran model baharu, inisiatif kewangan dan kempen promosi.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Madoka Chujo berkata, kumpulan itu merancang untuk melancarkan beberapa model terkini yang menampilkan Teknologi Canggih Generasi Seterusnya Honda dalam beberapa bulan akan datang.

"Pelancaran ini akan memberikan rakyat Malaysia lebih banyak pilihan model baharu dalam tempoh pengecualian cukai jualan semasa, yang telah dilanjutkan sehingga 31 Disember 2021," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Selain penurunan harga, Honda Malaysia menawarkan promosi Manfaat Khas September mulai 1 hingga 30 September 2021, yang mana pelanggan dapat menikmati pelbagai faedah bernilai sehingga RM6,000.

Pelanggan juga boleh memanfaatkan Program Pembiayaan Khas yang membolehkan mereka menikmati pembayaran ansuran bulanan yang lebih rendah pada peringkat awal pemilikan kereta mereka, yang akan berlangsung sehingga 31 Disember tahun ini.

Pelanggan boleh membuat tempahan awal model idaman mereka melalui platform pra-tempahan dalam talian, prebook.honda.com.my dan aplikasi mudah alih Honda Touch.

Pengeluar kereta itu menambah bahawa kilang pembuatannya di Melaka dan bilik pameran di syarikat pengedarnya sudah kembali beroperasi.

"Honda sedang mengambil langkah-langkah yang diperlukan untuk mengekalkan pengeluaran kereta pada standard tertinggi, memastikan permintaan pelanggan dipenuhi tepat pada masanya dengan pengiriman produk yang berkualiti.

Artikel Berkaitan:

"Langkah-langkah pencegahan telah dilaksanakan selain prosedur operasi standard di pusat pengedaran dan kilang pembuatan bagi menjamin persekitaran yang selamat," katanya. - Bernama