X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 28 November 2021

Kerajaan rangka peraturan akta berkaitan pemanasan global

Tuan Ibrahim (kanan) melawat Loji Rawatan Air Kampung Tel di Panji hari ini. - Foto Bernama
A
A

PASIR MAS – Kerajaan sedang merangka akta bersesuaian untuk mengawal perubahan iklim serta pemanasan global dalam negara.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, walaupun negara masih belum mempunyai akta khusus, namun kerajaan telah menyediakan mekanisme bersesuaian untuk mengatasi masalah berkenaan.

Beliau berkata, antara mekanisme tersebut ialah melaksanakan program bandar rendah karbon (LCCF) melalui kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan memperbanyakkan kawasan hijau dan penggunaan lestari kepada kemudahan elektrik.

“Selain itu, mobiliti karbon rendah turut dibincangkan bersama Kementerian Pengangkutan supaya kenderaan pada masa depan tidak banyak mengeluarkan karbon.

"Setakat ini Malaysia masih lagi mempunyai lebih 52 peratus hutan, sekali gus ia membantu mengurangkan masalah pelepasan karbon," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke Tapak Projek Tebing Sungai Kampung Pohon Celagi di sini pada Jumaat.

Tuan Ibrahim berkata, kerajaan juga menggalakkan orang ramai untuk berusaha mengurangkan pelepasan karbon dengan menggunakan kenderaan awam.

"Sebelum ini pun kita ada membuat denai di sungai. Sekarang kita menggalakkan penggunaan basikal dan tempat-tempat berjalan kaki yang tidak memerlukan kenderaan,” katanya.

Sementara itu, Tuan Ibrahim berkata, kerajaan akan menyertai persidangan antarabangsa di United Kingdom (UK) pada November ini bagi membincangkan mekanisme setiap negara dalam mengurangkan serta mengatasi isu pemanasan global berkenaan.

Beliau berkata, kerajaan melihat pelbagai aspek implikasi pemanasan global memandangkan keadaan cuaca tidak menentu.

“Ini sebenarnya boleh membantu di samping usaha-usaha kita mengurangkan pembaziran tenaga, elektrik dan air. Kita di peringkat kementerian juga sudah memulakan konsep kitaran semula air.

"Sebelum ini kita rawat dan buang, tapi sekarang kita rawat dan hantar kepada sektor industri. Kita kitar semula dan manfaatkan sebaik mungkin,” jelas beliau.

Mengulas mengenai pembinaan tebing baharu di Kampung Pohon Celagi, Tuan Ibrahim berkata, pihaknya akan sentiasa memantau perkembangan semasa kerja-kerja pembinaan berkenaan.

Menurutnya, ia supaya mengikut perancangan yang telah ditetapkan.

“Kita harap kontraktor dapat menyiapkan dalam jangka masa ditetapkan,” katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!