Komuniti doula disaran tubuh organisasi diiktiraf: Pakar

Prof Dr Harlina Halizah Siraj@Ramli
A
A

KUALA LUMPUR - Komuniti doula di negara ini disaran menyusun gerak kerja menerusi sebuah organisasi yang diiktiraf untuk membolehkan mereka yang layak menjadi peneman ibu ketika kelahiran, kata Profesor Ginekologi dan Pendidikan Perubatan (Pengajaran Klinikal) Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Dr Harlina Halizah Siraj@Ramli.

Katanya, organisasi tersebut seharusnya bertindak sebagai badan pemantau selain mewujudkan kerjasama strategik dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Sebagaimana amalan di beberapa negara maju seperti United Kingdom, Australia... mereka bersatu di bawah satu organisasi yang dipantau dan dibantu oleh doktor serta peranan mereka (doula) tidak mengambil alih tugas individu yang lebih profesional.

"Namun di Malaysia, perkara yang paling merisaukan apabila tiada satu badan khas yang membuat pemantauan aktiviti doula dan sesiapa sahaja boleh mengaku mereka adalah doula dengan hanya menjalani latihan dalam sehari...ini mewujudkan risiko yang boleh membahayakan nyawa ibu dan bayi yang bakal dilahirkan,” katanya kepada Bernama.

ARTIKEL BERKAITAN: Doula, KMM perlu bincang cari penyelesaian terbaik

Beliau menjelaskan, walaupun kes membabitkan doula tidak banyak dilaporkan tetapi kewujudan mereka sudah mula mendapat perhatian susulan beberapa kes kematian bayi yang dilahirkan dipercayai menggunakan khidmat golongan itu di negara ini.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) Kementerian Kesihatan, Datuk Dr Azman Abu Bakar baru-baru ini mengesahkan setakat ini KKM tidak pernah memberi sebarang lesen atau kebenaran untuk perkhidmatan tersebut dijalankan di negara ini.

Menjelas lanjut, Dr Harlina berkata, doula ialah seorang yang memberikan sokongan emosi dan fizikal kepada ibu semasa kehamilan dan kelahiran dan mereka bukanlah dalam kalangan ahli profesional perubatan.

"Mereka tidak menyambut kelahiran atau memberikan rawatan perubatan, doula yang bertauliah mesti selesai menjalani program latihan dan lulus peperiksaan khusus untuk membantu wanita yang hamil dan keluarganya melalui pengalaman yang mengujakan dan mencabar itu," katanya.

Katanya perkhidmatan doula tidak menjamin keselamatan ibu dan bayi dalam kandungan terutamanya wanita hamil yang dikategorikan dalam risiko tinggi seperti kehamilan sulung, pernah bersalin melalui pembedahan caesarean, anak songsang, masalah obesiti, hipertensi dan sebagainya.

"Terdapat segelintir mereka (doula) yang bertindak di luar batasan dan sempadan sehingga dilihat seolah-olah mengambil alih peranan doktor dan jururawat bidan terlatih," katanya.

Perkhidmatan doula cenderung digunakan oleh golongan muda yang baru berkahwin dan pengalaman pertama melahirkan anak, kerana sifat takut dan kurang keyakinan terhadap perkhidmatan di hospital.

"Ada trend di mana kepercayaan umum terhadap perkhidmatan hospital seolah-olah terhakis, mungkin kerana cerita-cerita yang dikongsikan dan pengalaman kurang menyenangkan semasa bersalin.

"Mereka juga merasakan semua perkara yang dilakukan oleh pihak hospital adalah tidak betul dan tidak memerlukan ubat-ubatan walaupun sebenarnya apa yang dilakukan adalah untuk kebaikan mereka,” tambahnya.

Nasihat Dr Harlina, bakal ibu bapa, khususnya golongan muda perlu meningkatkan tahap pengetahuan dan mendapatkan informasi tepat mengenai proses kehamilan dan kelahiran supaya dapat membuat keputusan penting berkaitan kehamilan dan kelahiran. - Bernama