X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 07 Julai 2022

Pesakit Covid-19 serang petugas kesihatan dengan cangkul

Seorang pesakit Covid-19 yang melarikan diri dari pusat kuarantin bertindak menyerang kakitangan kesihatan daerah dengan cangkul. Gambar hiasan.
A
A

DUNGUN - Seorang pesakit Covid-19 yang melarikan diri dari Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Bersepadu di Stadium Negeri Terengganu bertindak menyerang kakitangan kesihatan daerah dengan cangkul dalam kejadian di Kampung Baru Serdang, di sini pada Khamis.

Lelaki bekerja sebagai buruh berusia 40 tahun itu dikatakan bertindak sedemikian selepas tidak berpuas hati terhadap mangsa yang diarahkan ke rumahnya untuk membuat penilaian perubatan selepas suspek disedari melarikan diri dari PKRC terbabit.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 15 tengah hari itu, tindakan suspek telah mengakibatkan mangsa cedera di kedua-dua tapak tangan serta bahagian mulut selepas terjatuh ketika dikejar suspek dengan senjata berkenaan.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, mangsa yang berjawatan sebagai inspektor kesihatan daerah bersama sekumpulan petugas diarahkan ke rumah suspek bagi membuat penilaian perubatan ke atasnya.

"Setiba di lokasi kejadian, selepas memperkenalkan diri dan memberitahu tujuan, suspek yang enggan memberi kerjasama bertindak mengejar mangsa dengan sebatang cangkul menyebabkan dia terjatuh ketika menyelamatkan diri," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Baharudin berkata, mangsa yang berusia 39 tahun itu mengalami kecederaan di bahagian kedua-dua belah tapak tangan, bibir dan dagu serta sumbing gigi bahagian atas telah menerima rawatan di Klinik Kesihatan Bandar Bukit Besi, di sini sebelum membuat laporan polis.

"Hasil semakan mendapati, suspek mempunyai satu rekod lampau berkaitan dadah di bawah Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1959 dan kes ini akan disiasat di bawah seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana menakutkan secara jenayah," katanya.

Pada Isnin lalu, suspek yang sepatutnya menjalani kuarantin di PKRC Bersepadu Stadium Negeri sehingga 6 September ini dikesan melarikan diri.

Kehilangan lelaki itu disedari petugas kira-kira jam 4.30 petang ketika proses pengambilan tanda vital dan petugas berkenaan turut mendapati peralatan peribadi milik suspek turut tiada di katil pesakit.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!