Gesa Speaker beri keutamaan bahas RUU Pemecatan Ahli Parlimen 2021

Mohd Parid
Mohd Parid
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) menggesa agar Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun memberi keutamaan kepada Rang Undang-Undang (RUU) Pemecatan Ahli Parlimen 2021 supaya dibahaskan di sidang Dewan Rakyat.

Presidennya, Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad berkata, cadangan agar pilihan raya bagi memecat wakil rakyat atau 'recall election' adalah langkah terbaik untuk mencegah rasuah politik melalui amalan lompat parti yang mengakibatkan hilangnya kepercayaan rakyat terhadap ahli-ahli politik.

“Cadangan berkenaan merupakan langkah penting demi memulihkan amalan demokrasi serta memperkukuhkan institusi Parlimen yang sepatutnya meletakkan kepentingan rakyat dan negara sebagai keutamaan setelah lebih setahun negara dalam krisis politik.

“Ikram sehubungan itu menggesa agar Yang Dipertua Dewan Rakyat memberi pertimbangan sewajarnya dan mengutamakan usul RUU berkenaan untuk dibahaskan dalam sidang Dewan Rakyat pada bulan ini," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Pada Khamis, Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, beliau berhasrat menghantar notis usul kepada Dewan Rakyat berhubung RUU Pemecatan Ahli Parlimen 2021 pada sidang Parlimen nanti.

Bekas Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat itu berkata, ia sebagai titik permulaan kepada 'recall election' yang merujuk kepada pemilihan semula seperti diamalkan beberapa negara Komanwel lain.

Azalina berkata, beliau akan menghantar notis usul itu kepada Azhar Azizan di bawah Peraturan Mesyuarat 49(1) untuk RUU ahli yang bukan ahli kerajaan.

Mengulas lanjut, Mohd Parid berkata, Ikram menyambut baik inisiatif Azalina menghantar notis usul tersebut serta cadangan penubuhan ‘Kaukus Reformasi Parlimen dan Demokrasi Pelbagai Parti’.

Artikel Berkaitan:

“Untuk membawa negara ke tahap lebih baik, Ikram menyokong usaha-usaha memartabatkan institusi kenegaraan yang dibangunkan sejak tertubuhnya negara ini,” ujar beliau.