X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 17 Oktober 2021

Sabah terima RM20 juta bayaran interim dividen

Hajiji Noor
A
A

KOTA KINABALU - Kerajaan negeri Sabah menerima RM20 juta daripada Kumpulan Sawit Kinabalu sebagai pembayaran interim dividen bagi suku pertama dan kedua tahun ini, serta sumbangan untuk Tabung Covid-19.

Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor dalam satu kenyataan berkata, daripada jumlah itu sebanyak RM10 juta adalah untuk pembayaran interim dividen berkenaan manakala RM10 juta lagi disalurkan kepada Tabung Covid-19.

Beliau yang juga merupakan Pengerusi Sawit Kinabalu menerima replika cek tersebut daripada Pengarah Urusan Kumpulan Sawit Kinabalu, Bacho Jansie dalam satu majlis penyerahan di Pusat Pentadbiran Kerajaan Negeri pada Khamis.

Hajiji berkata, walaupun berdepan dengan penularan pandemik Covid-19, namun Sawit Kinabalu terus menunjukkan prestasi cemerlang kerana mampu membayar dividen, dan dalam masa sama, menyalurkan bantuan kepada Tabung Covid-19.

“Pembayaran ini jelas memenuhi aspirasi kerajaan negeri bahawa syarikat berkaitan kerajaan hendaklah cekap dan membawa keuntungan. Kerajaan akan sentiasa menyokong industri sawit sebagai satu daripada sektor ekonomi kerana ia sejajar dengan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

“SMJ menekankan pertanian sebagai satu daripada tiga sektor utama pertumbuhan ekonomi negeri ini selain perindustrian dan pelancongan. Ini juga satu bukti yang jelas betapa kerajaan mengambil serius mengenai pembangunan ekonomi negeri untuk membawa kesejahteraan kepada seluruh rakyat,” kata kenyataan itu pada Jumaat.

Sehingga kini, Sawit Kinabalu, yang merupakan jentera pelaburan kerajaan Sabah telah membayar dividen berjumlah RM1.2 bilion kepada kerajaan negeri sejak syarikat itu diperbadankan 25 tahun lalu.

Sementara itu, Bacho berkata, walaupun seluruh negara sedang mengalami ancaman pandemik Covid-19 dan bencana alam seperti banjir di beberapa negeri, namun industri sawit tetap membawa impak positif terhadap pertumbuhan ekonomi.

Menurutnya, pada tahun ini, harga minyak sawit mentah mencatat harga tertinggi iaitu melebihi RM4,700 setan metrik pada Mei lepas, hasil daripada prestasi faktor-faktor lain seperti peningkatan harga minyak kacang soya.

“Prestasi aktiviti di ladang dan kilang amat memberangsangkan dengan tumpuan utama diberi bagi memaksimumkan pengeluaran buah di ladang dan kerja-kerja pemprosesan di kilang. Melalui keutamaan diberikan kepada aktiviti itu, jelas prestasi ini akan meningkat lagi pada masa akan datang.

“Kekuatan Sawit Kinabalu terletak pada tenaga pekerjanya termasuk di ladang dan kilang. Pada musim pandemik ini, syarikat membelanjakan lebih RM6 juta bagi kos perbelanjaan Covid-19 termasuk pembayaran insentif pekerja ladang dan kilang sewaktu pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan,” katanya. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!