Bawa isu kebajikan pekerja e-hailing, p-hailing kepada kerajaan

Asyraf Wajdi memuat naik gambar ketika menerima kunjungan pimpinan MTUC pada Jumaat. - Foto FB Dr Asyraf Wajdi Dusuki
Asyraf Wajdi memuat naik gambar ketika menerima kunjungan pimpinan MTUC pada Jumaat. - Foto FB Dr Asyraf Wajdi Dusuki
A
A
A

SHAH ALAM - Pemuda UMNO akan membawa isu kebajikan pekerja ekonomi gig melibatkan perkhidmatan penghantaran, e-hailing dan p-hailing kepada kerajaan.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, untuk tujuan itu satu mesyuarat khas akan diadakan dengan kerjasama Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).

"InsyaALLAH Pemuda UMNO dan MTUC akan memanggil satu mesyuarat khas dengan semua kesatuan yang mewakili kelompok p-hailing dan e-hailing ini dalam masa terdekat untuk digemblengkan satu suara bagi diangkat kepada pihak kerajaan," katanya.

Beliau berkata demikian menerusi hantaran di Facebook susulan menerima kunjungan pimpinan tertinggi MTUC diketuai Setiausaha Agungnya, Kamarul Baharin Mansor pada Jumaat.

Menurutnya, pimpinan MTUC meminta Pemuda UMNO membantu membangkitkan dan membawa isu-isu pekerja terutamanya menyentuh kebajikan pekerja ekonomi gig seperti e-hailing dan p-hailing.

"Antara isunya termasuk status pekerja e-hailing dan p-hailing yang tidak dilindungi di bawah Akta Kerja 1955.

"Tiada caruman oleh majikan sama ada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) ataupun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kerana mereka tidak dikategorikan sebagai pekerja (contract of service), sebaliknya 'contract for service'," katanya.

Selain itu, Asyraf Wajdi menegaskan, tiada insurans diambil majikan sehingga mendedahkan kelompok itu terutama p-hailing kepada risiko kehilangan nyawa dan kecederaan tanpa sebarang pampasan.

Artikel Berkaitan:

Jelas beliau, piawaian khas mengenai komisyen yang dibayar majikan juga tiada (tiada lantai komisyen) hingga menyebabkan amalan berbeza-beza dan adakalanya menekan dan berlakunya ketidakadilan dari segi pembayaran.

Katanya, bantuan daripada kerajaan juga dikatakan tidak menepati kehendak pekerja sektor berkenaan.

Justeru, Asyraf Wajdi juga meminta pekerja yang terlibat dalam e-hailing dan p-hailing tampil menyuarakan masalah jika masih ada isu lain yang dihadapi mereka.