Rentas negeri: KJ minta rakyat Malaysia bersabar

Khairy Jamaluddin
Khairy Jamaluddin
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Rakyat Malaysia diminta bersabar untuk melakukan aktiviti rentas negeri bagi menziarahi keluarga masing-masing.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, pihaknya dalam peringkat akhir memuktamadkan prosedur operasi standard (SOP) rentas negeri sebelum dikemukakan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Ada harapan (rentas negeri), cuma saya minta sabar sekejap," katanya pada sidang akhbar di kementeriannya di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, perbincangan telah dilakukan dengan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah bagi tujuan tersebut.

"Kita semua maklum bahawa pembukaan sempadan negeri untuk pergerakan bakal mengundang risiko, berikan tempoh sikit lagi," katanya.

Menurutnya, terdapat beberapa negeri yang masih rendah nilai ambang vaksinasi seperti Sabah, Kelantan, Perak, Kedah, Johor, Terengganu, Pahang dan Pulau Pinang.

Katanya, menjelang akhir September, semua negeri akan mencapai liputan dos vaksin lengkap dalam kalangan individu dewasa sebanyak 60 peratus.

Kali terakhir rakyat menikmati kelonggaran rentas negeri adalah pada penghujung tahun lalu sebelum larangan dikuatkuasakan pada 11 Januari tahun ini.

Artikel Berkaitan:

Pada perkembangan sama, Khairy telah mengarahkan makmal-makmal Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Kementerian Teknologi Sains dan Inovasi (MOSTI) untuk menjalankan penjujukan genom terhadap kes import bagi mengesan kehadiran varian baharu, Mu.

"Kalau ada kes import, kita kena buat penjujukan genom untuk pastikan ia bukan varian Mu," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, setakat ini negara tidak melaporkan sebarang kes berkaitan varian tersebut.

"Setiap orang boleh balik ke Malaysia dan kita jalankan prosedur seperti biasa," katanya.

Isnin lalu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menetapkan varian Mu, juga dikenal sebagai B.1.621, sebagai varian mempunyai kepentingan (VOI), tahap kedua tertinggi dalam klasifikasi variannya.

Varian tersebut mendominasi negara Columbia dan telah tersebar ke 40 buah negara dengan terbaharu Jepun turut melaporkan kes positif pertama varian Mu pada Khamis.