Kes baharu Covid-19 menurun kepada 19,378

Gambar hiasan - Foto Fail Bernama.

Gambar hiasan - Foto Fail Bernama.

A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Kes baharu Covid-19 dalam negara pada Jumaat menurun kepada 19,378 berbanding 20,988 kes pada Khamis.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi hantaran dalam laman Facebook dan Twitter berkata, kumulatif kes Covid-19 kini adalah sebanyak 1,805,382 kes.

Selangor kekal mencatatkan jumlah kes harian tertinggi dengan 3,613 kes, diikuti Sarawak (2,464), Sabah (2,404), Johor (2,331), Pulau Pinang (1,726), Kedah (1,470), Perak (1,389) dan Kelantan (1,356).

Sementara itu, Kuala Lumpur merekodkan sebanyak 740 kes, Pahang (559), Terengganu (532), Melaka (399) dan Negeri Sembilan (270).

Tiga negeri kekal mencatatkan kes di bawah paras 100 iaitu Perlis dengan 80 kes, Putrajaya (41) dan Labuan empat kes.

Dr Noor Hisham dalam satu kenyataan berkata, daripada kes harian yang dilaporkan pada Jumaat, 332 kes atau 1.7 peratus terdiri daripada kategori tiga, empat dan lima, manakala 19,046 kes atau 98.3 peratus adalah kategori satu dan dua.

"Secara keseluruhan, 8,847 kes atau 45.7 peratus daripada jumlah kes yang dilaporkan hari ini tiada sejarah vaksinasi, 4,638 kes atau 23.9 peratus telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin manakala 5,893 kes atau 30.4 peratus mempunyai sejarah vaksinasi lengkap," katanya.

Dengan perkembangan terbaharu itu, Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 259,189 kes aktif direkodkan setakat ini dengan kes yang memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) sebanyak 1,388.

Artikel Berkaitan:

Daripada jumlah kes yang dirawat di ICU itu, 975 kes disahkan Covid-19 manakala 413 lagi masih disyaki, berkemungkinan dan kes dalam siasatan.

Dr Noor Hisham berkata, 762 kes memerlukan bantuan pernafasan iaitu 463 disahkan Covid-19, manakala baki 299 lagi masih disyaki, kemungkinan dan kes dalam siasatan.

Menurut Dr Noor Hisham, 22,399 kes sembuh direkodkan pada Jumaat, manakala terdapat 330 lagi kematian dengan 93 kes meninggal dunia di luar hospital atau mati ketika dibawa (BID) menjadikan jumlah keseluruhan yang maut akibat wabak tersebut adalah 17,521 orang.

Beliau berkata, terdapat 34 kluster baharu direkodkan dengan 20 daripadanya adalah kluster tempat kerja, kluster komuniti (lapan), kluster kumpulan berisiko tinggi (empat), kluster pendidikan tinggi dan kluster keagamaan masing-masing satu, menjadikan 1,476 kluster aktif setakat ini.

Sementara itu, beliau berkata, nilai kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau R-naught (Rt) secara keseluruhan bagi dua hari berturut-turut mencatatkan bacaan kurang daripada 1.0 dan berharap nilai tersebut akan terus menurun.

“Ini (nilai Rt) merupakan petanda positif kerana meskipun lebih banyak sektor ekonomi dan sosial dibuka kebelakangan ini, keadaan kelihatan terkawal dan menunjukkan ia bertambah baik secara perlahan.

"Situasi Covid-19 dalam negara diharap terus berkembang baik setara dengan peningkatan kadar vaksinasi di samping pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) dan amalan norma baharu,” katanya.

Selain itu, Dr Noor Hisham memaklumkan kapasiti penggunaan katil ICU di hospital Covid-19 di Kedah adalah 128 peratus, Sabah (110 peratus), Perak (106 peratus), Pulau Pinang (101 peratus) dan Perlis (100 peratus), manakala negeri lain di bawah 100 peratus, setakat 5 petang Khamis.

Menurutnya, bagi seluruh Malaysia pula, penggunaan katil ICU setakat Khamis ialah 89 peratus. - Bernama