X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 26 Jun 2022

Belum masa Sarawak rai kembali ke saingan elit

Elavarasan
A
A

KETUA Jurulatih Sarawak United FC, E Elavarasan menegaskan belum masanya lagi untuk barisan pemain meraikan kejayaan layak ke Liga Super 2022 kerana masih ada baki tiga perlawanan untuk mereka mengejar kejuaraan Liga Premier pada musim ini.

Skuadnya terlebih dahulu telah pun mengesahkan slot ke Liga Super 2022 susulan kekalahan Kuching City FC kepada Negeri Sembilan FC semalam sekali gus menyaksikan kedudukannya tetap selamat sama ada di tangga teratas atau kedua liga meskipun jika tewas kesemua tiga lagi baki perlawanan akan datang.

Namun, Elavarasan tetap mahu anak buahnya mengambil serius tiga perlawanan itu bagi memastikan trofi Liga Premier menjadi milik mereka kerana semestinya ia akan menjadi kejayaan berganda untuk pasukan apatah lagi selepas mengharungi musim mencabar pada musim lalu selepas menamatkan saingan di tangga ke-10 liga.

“Persembahan pemain yang kita boleh banggakan dan saya sebagai jurulatih hanya menjalankan tugas sahaja untuk memastikan pasukan mampu ke Liga Super musim depan.

“Sudah tentu lega sebab dah melepasi sasaran pertama, itu yang paling penting, cuma apabila kita dah layak awal, selepas ini sudah pasti kita fokus misi untuk menjadi juara pula.

“Selepas ini, saya percaya baik Negeri Sembilan dan Kuching City, dua dua akan bagi tentangan lebih hebat apatah lagi Kuching juga masih berpeluang untuk menyaingi Negeri Sembilan, yang penting untuk kami adalah baki tiga perlawanan akan datang ini,” katanya.

Dalam pada itu, pengendali Negeri Sembilan FC, K. Devan juga turut sama mahu anak buah tidak berasa selesa kerana kedudukan pasukan masih belum terjamin untuk layak ke Liga Super 2022 memandangkan pencabar terdekat, Kuching City FC mampu memintas sekiranya Negeri Sembilan tewas dalam baki dua lagi perlawanan akan datang.

Namun, kemenangan 2-1 ke atas skuad kendalian Irfan Bakti semalam sedikit melegakan beliau dan peluang untuk cuba merampas kedudukan takhta liga juga masih terbuka apabila hanya dibezakan dua mata ketika ini dengan Sarawak United.

“Secara matematiknya, kedudukan kita masih belum selamat sebab kalau Kuching City menang semua perlawanan, dan kita tercicir mata dalam dua lagi perlawanan, mereka akan ada kutipan mata yang sama dengan kita, jadi Kuching masih berpeluang lagi untuk layak ke Liga Super.

“Cuma apabila kita menang ke atas mereka, sekurang-kurangnya lega sedikit dan selepas ini kita ada peluang untuk kejar balik Sarawak United kerana lawan mereka selepas ini boleh dianggap kuat, jadi kita tengoklah macam mana”, katanya.

Kedudukan terkini Liga Premier 2021 menyaksikan Sarawak United FC telah mengumpul 37 mata untuk berada di takhta liga dibezakan dua mata dengan Negeri Sembilan FC di tangga kedua.

Sementara Kuching City FC yang masih lagi mempunyai enam aksi tertunda berada di tangga kesembilan dengan 17 mata setakat ini.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!