X

Kindly register in order to view this article
!

Alumni politeknik, kolej komuniti perlu sumbang kepakaran: Maszlee

Maszlee (dua, kiri) bersalaman dengan alumni ketika hadir Karnival Semarak Budaya Politeknik dan Kolej Komuniti Zon Selatan 2019, semalam.
A
A

MERSING - Alumni politeknik dan kolej komuniti perlu menyokong dan sentiasa menyumbang kepada institusi pengajian mereka sebagai usaha membangunkan kedua-dua institusi berkenaan.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, ia berikutan politeknik dan kolej komuniti merupakan peneraju Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional Malaysia (TVET).

Menurutnya, alumni disaran menyumbang dalam bentuk perkongsian ilmu, peluang latihan industri, peluang kerjaya, keusahawanan dan bantuan kewangan atau tajaan pendidikan kepada mahasiswa.

"Penglibatan alumni melalui kepakaran dalam bidang berkaitan profesion mereka juga amat penting bagi membangunkan program-program pengajian di politeknik dan kolej komuniti.

"Antaranya sebagai pensyarah jemputan, ahli jawatankuasa penasihat serta pakar industri. Saya berikan satu contoh, apabila tiba di tahun akhir pengajian pelajar terpaksa memikirkan secara lebih serius mengenai soal kerjaya mereka.

"Ini waktu sesuai alumni memberi khidmat mentoring tentang peluang pekerjaan yang ada di samping membantu mereka mendapatkan tempat untuk latihan praktikal di institusi di mana alumni berada," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap ketika merasmikan Karnival Semarak Budaya Politeknik dan Kolej Komuniti Zon Selatan 2019 di Politeknik Mersing, semalam.

Maszlee berkata, sehingga kini negara mempunyai 550,000 alumni politeknik dan 91,000 alumni kolej komuniti.

Katanya, diharap jumlah tersebut dapat memberi pulangan lebih baik kepada institusi pengajian mereka.

Terdahulu, karnival berkenaan dihadiri lebih 1,000 alumni politeknik dan kolej komuniti zon selatan itu bagi mengiktiraf peranan alumni dan menggalakkan penglibatan mereka secara lebih luas.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus