Sempat cium, peluk emak sebelum maut

Siti Rubiah dan suaminya menunjukkan gambar kenangan Nazli yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 43.5 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak pada Khamis.
Siti Rubiah dan suaminya menunjukkan gambar kenangan Nazli yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 43.5 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak pada Khamis.
A
A
A

SABAK BERNAM - Seorang pemandu lori yang maut dalam kemalangan membawa muatan baja terbabas ke dalam gaung di Kilometer 43.5 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak pada Khamis sempat memeluk dan mencium ibunya terlebih dahulu sebelum meminta izin ingin ke tempat kerja.

Ibunya, Siti Rubiah Mohd Khotib, 78, berkata, anaknya, Allahyarham Nazli Misnon, 56, ditemui kali terakhir pada petang Rabu.

"Waktu itu arwah ingin ke tempat kerja, tetapi apabila nampak saya di beranda, arwah terus keluar dari kereta dan menemui saya.

"Arwah beritahu dia hendak pergi kerja, tetapi tidak balik esok (Khamis), sebaliknya memaklumkan pulang ke rumah pada Jumaat," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Jumaat.

Siti Rubiah yang menetap di Kampung Sungai Air Tawar berkata, kata-kata arwah itu sehingga kini masih terngiang-ngiang di telinganya.

"Memang betul anak saya pulang ke rumah hari ini, tetapi dia pulang sebagai jenazah," katanya.

Jelas Siti Rubiah, dia hanya mengetahui Allahyarham Nazli terlibat dalam kemalangan kira-kira jam 4 petang Khamis selepas dimaklumkan bapa kepada kelindan yang turut maut dalam tragedi sama.

"Bapa kepada arwah rakan anak saya datang ke rumah sambil menangis memberitahu anak dia dan saya terkorban dalam nahas.

Artikel Berkaitan:

"Luluh hati sebaik mengetahui kejadian menimpa anak dan pada masa itu saya hanya mampu berdoa agar semua urusan dipermudahkan," ujarnya.

Siti Rubiah memberitahu, anak ketiga daripada enam beradik itu disifatkan seorang anak yang baik, mesra dan penyayang.

Keadaan lori yang membawa muatan baja terjatuh ke dalam gaung meragut nyawa Nazli.
Keadaan lori yang membawa muatan baja terjatuh ke dalam gaung meragut nyawa Nazli.

Malah, katanya, arwah juga selalu menyediakan dan membeli makanan sebelum ke tempat kerja.

"Arwah rajin memasak dan dia selalu pesan jangan memasak disebabkan saya tidak berapa sihat.

"Arwah sangat mengambil berat tentang hal keluarga dan dia juga rajin berkebun jika tidak keluar bekerja memandu lori," katanya.

Kakak ipar Nazli, Zahratul Laila Samsuddin, 35, berkata, Allahyarham adik iparnya itu ada menghubunginya dua jam sebelum terbabit kemalangan.

"Arwah beritahu tolong tengokkan emak dan abah mertua di kampung sebelum panggilan terputus.

"Saya tidak menyangka itu pesanan terakhir arwah sebelum dia pergi buat selamanya," katanya.

Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Sabak Bernam, Datuk Abd Rahman Bakri turut meluangkan masa menziarahi keluarga Allahyarham Nazli.

Abd Rahman berkata, arwah merupakan kenalan beliau di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Munshi Abdullah, Sabak Bernam.

Katanya, Allahyarham Nazli seorang yang aktif dalam kumpulan WhatsApp sekolah dan sering memberikan pandangan dan idea.

"Arwah disifatkan seorang yang mudah mesra dengan rakan dan berita kematian arwah yang terbabit dalam kemalangan amat mengejutkan kami.

"Saya juga pernah ziarah arwah Julai lalu dan menyampaikan bakul makanan selepas arwah menjadi kontak rapat kepada pesakit Covid-19," katanya.

Jenazah Allahyarham yang tiba dari Hospital Bentong disembahyangkan di rumah keluarganya sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Air Tawar pada jam 10 pagi Jumaat.

Sinar Harian pada Khamis melaporkan, pemandu dan kelindan maut selepas lori dinaiki mereka terbabas ke dalam gaung sedalam 10 meter di KM 43.5 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak pada Khamis.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, Nazli yang juga pemandu lori dan kelindannya, Anwar Tushali Arimi Mualimin, 25, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.